Kerajaan Sarawak punca 1 lagi pencari kerja ditipu, kata MTUC

Lapan orang Sarawak yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Liberia kembali ke Malaysia pada Mac 2019.

KUCHING: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak menyalahkan kerajaan negeri atas kegagalan mewujudkan pekerjaan sesuai susulan satu lagi kes penipuan tawaran kerja di luar negara.

Setiausahanya, Andrew Lo berkata, orang Sarawak mencari peluang pekerjaan lebih baik di Semenanjung Malaysia, Singapura dan negara lain, tetapi ramai daripada mereka ditipu sindiket yang menjanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan.

“Kerajaan negeri hanya berpura-pura terhadap janji untuk mewujudkan pekerjaan dalam negeri ini. Macam mana lagi anda mahu menjelaskan sebab tidak mewujudkan portfolio sumber manusia di Kabinet negeri?” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa kerajaan negeri membuat rangka tindakan menyeluruh keperluan sumber manusia di Sarawak untuk menangani isu seperti pekerja asing, produktiviti pekerja, pemerkasaan pekerjaan dan perhubungan perindustrian.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii mendedahkan satu lagi kes orang Sarawak menjadi mangsa penipuan kerja di Maldives.

Katanya, mangsa yang pasportnya diambil pemilik perniagaan, mendapati kerja yang dimohonnya tidak seperti diharapkan.

Beliau berkata, pihaknya mendapatkan bantuan Kementerian Luar yang menghubungi Konsulat Malaysia di Colombo, Sri Lanka untuk memberi bantuan kepada keluarga itu.

Polis berkata, kes penipuan kerja yang dilaporkan di Sarawak meningkat 18% dari 2018 hingga 2019.

Seramai 28 daripada 45 orang yang dilaporkan menjadi mangsa tahun lalu ialah penganggur.

“Dalam kebanyakan kes, mereka diberitahu mengenai tawaran kerja itu daripada kawan mereka atau mendapat maklumat dari media sosial serta tidak menyelidik kerja yang mereka mohon.”