Kumpulan kesihatan kecam pembinaan kawasan khas merokok

PBT akan menyediakan kawasan khas merokok di luar premis, pada jarak sekurang-kurangnya 3m dari meja makan.

PETALING JAYA: Dua kumpulan kepentingan kesihatan mengecam sokongan Putrajaya untuk membina kawasan khas merokok di kawasan yang dilarang merokok.

Bercakap kepada FMT, jurucakap bagi Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial serta Badan Bertindak Wanita bagi Kawalan Tembakau dan Kesihatan Malaysia (MyWATCH) berkata langkah menyediakan peruntukan bagi pembinaan zon merokok adalah regresif dan bercanggah.

Mereka mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang berkata pihak berkuasa tempatan akan menyediakan kawasan khas merokok di tempat awam dan pemilik kedai makan boleh memohon peruntukan daripada kementeriannya.

Larangan merokok di restoran yang berkuat kuasa sejak 1 Jan, masih membenarkan perokok merokok pada jarak 3m dari luar restoran terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Galen, Azrul Mohd Khalib berkata tawaran kerajaan itu tidak masuk akal dan menunjukkan ia tidak kisah untuk membazirkan wang pembayar cukai.

Pembinaan zon bebas rokok, katanya, dipimpin penyelidikan saintifik selama beberapa dekad serta bukti bahawa ia meningkatkan kesihatan, mengurangkan kemasukan ke hospital dan terselamat daripada penyakit yang berkaitan rokok.

Beliau mencabar Putrajaya memberikan bukti manfaat daripada penyediaan zon merokok.

Beliau berkata ia “mengecewakan” apabila kawasan merokok akan dibina di Malaysia sedangkan negara-negara lain di seluruh dunia mempertimbangkan untuk memperkenalkan atau memperluaskan kawasan bebas rokok.

Beliau berkata peraturan-peraturan Kementerian Kesihatan dan undang-undang yang sedia ada jelas mengenai kawasan-kawasan yang mesti bebas rokok.

“Perokok bebas merokok di mana-mana, di kebanyakan tempat. Apa lagi yang mereka mahu?.

“Perkembangan ini menghantar mesej bercanggah dan mengelirukan orang ramai mengenai komitmen kerajaan terhadap pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit, yang kini melumpuhkan kewangan kesihatan negara,” katanya.

Pengarah perubatan MyWATCH Dr Zarihah Zain berkata beliau percaya idea untuk kawasan khas merokok bermotifkan politik kerana ia tidak memberi manfaat kepada sesiapa pun.

“Merokok sudah dibenarkan secara praktikal di tempat lain di luar restoran. Kenapa perlu kawasan khas untuk merokok?

“Ini hanya masuk akal jika kerajaan mengharamkan sepenuhnya merokok secara terbuka.”

Menetapkan zon bebas rokok, katanya, menjadikannya lebih sukar bagi perokok untuk merokok dan akan mendorong mereka untuk berhenti merokok.

“Kawasan merokok hanya memudahkan mereka untuk merokok dan ini mensia-siakan larangan merokok di restoran-restoran,” katanya.