Lagi kes virus baru serang China dikesan di Thailand

Lapangan Terbang Thailand menyaring penumpang yang datang dari Wuhan. (Gambar AP)

BANGKOK: Thailand mengesan kes ke-2 coronavirus, virus baru yang menyerang China, kata pihak berkuasa pada Jumaat, ketika mereka melakukan pemeriksaan ke atas pelawat Cina iaitu hampir sejuta daripada mereka yang dijangka bercuti di negara itu sempena Tahun Baru Lunar, minggu depan.

Pesakit terbaru adalah dari pusat bandar Wuhan, China, di mana dilaporkan 41 kes pneumonia yang berpotensi dikaitkan dengan jenis virus baru itu, dengan 2 kematian, sementara hospital seluruh dunia sedang bersiap sedia terhadap sebarang penyebaran.

Wanita berusia 74 tahun, yang dikuarantin sejak tiba di Thailand pada Isnin, didapati dijangkiti, kata Sukhum Karnchanapimai, setiausaha tetap Kementerian Kesihatan Awam.

Dia menggesa Thailand bertenang, sambil menambah tiada penularan di negara itu.

Coronavirus adalah kumpulan yang sama dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).

Thailand, yang sangat berjaga-jaga menjelang cuti Tahun Baru Cina, berkata ia mendapati seorang wanita Cina berusia 61 tahun dijangkiti coronavirus, yang kali pertama dikesan di luar China.

Jepun melaporkan kes pertama jangkitan pada Khamis, selepas seorang lelaki Jepun kembali dari melawat Wuhan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata virus itu boleh tersebar dan memberi amaran kepada hospital-hospital menanganinya.

Pegawai kesihatan Thai meningkatkan pemantauan di 4 lapangan terbang yang menerima penerbangan harian dari Wuhan – Suvarnabhumi, Don Mueng, Chiang Mai dan Phuket – dan lain-lain yang menerima penerbangan dari bandar China.

Sejak 3 Jan, Thailand menyaring 13,624 penumpang.

Para pegawai kesihatan juga meminta AirAsia Thai dan China Southern Airlines, yang menjalankan penerbangan harian langsung dari Wuhan, menghentikan penerbangan penumpang yang mengalami demam dengan suhu yang tinggi dan gejala pernafasan serta menjadualkan semula penerbangan mereka.