Malaysia negara bebas, anda boleh beri komen, Dr M beritahu pemimpin PKR

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Rabu dilaporkan berkata, bukti fizikal adalah diperlukan untuk meneruskan kes tuduhan serangan seksual terhadap Anwar selepas Jabatan Peguam Negara menutup kes itu.

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah negara bebas dan mana-mana pihak boleh membuat sebarang kritikan dan komen, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pimpinan PKR yang kecewa dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador pada Rabu yang memberi bayangan Anwar Ibrahim pernah melakukan serangan seksual ke atas bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

“Itu pendapat orang lain, KPN mungkin mempunyai pendapat lain.

“Ini negara bebas. Anda boleh membuat apa sahaja komen yang anda suka,” katanya pada sidang media di
Yayasan Al- Bukhary di sini selepas mempengerusikan mesyuarat PPBM hari ini.

Terdahulu beberapa pemimpin PKR melahirkan rasa kecewa mereka berhubung kenyataan Hamid yang seolah-olah memberi bayangan bahawa Anwar pernah melakukan serangan seksual ke atas bekas pembantu penyelidiknya itu.

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail kesal dengan kenyataan Hamid yang didakwanya bersifat “afirmatif” seolah-olah Anwar pernah melakukan perbuatan itu.

Pendirian sama dibuat oleh ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Hamid dalam sidang media pada Rabu dilaporkan berkata, bukti fizikal adalah diperlukan untuk meneruskan kes tuduhan serangan seksual terhadap Anwar selepas Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menutup kes itu.

Beliau berkata, sukar untuk polis mendapatkan bukti fizikal dan sokongan bagi kes itu kerana ia sudah lama berlaku.

Kenyataan itu menyusul ketetapan dibuat peguam cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek yang menyebut bahawa wujud percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atau seksyen lain di bawah kanun sama berhubung siasatan polis ke atas aduan Yusoff.

Berikutan laporan polis yang dibuatnya pada awal Dis lepas, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman memulakan siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, berkaitan penggunaan kekerasan jenayah bagi mencabul kehormatan seseorang.

Polis merekodkan kenyataan Yusoff, selain menjalankan ujian poligraf ke atasnya.

Polis juga menyoal siasat Anwar sebelum mengiringinya ke rumah beliau di Bukit Segambut. Anwar menafikan dakwaan Yusoff.