Masyarakat ‘cashless’ bukan jaminan tiada jenayah

Sebarang usaha menjadikan masyarakat kita sebagai masyarakat tanpa tunai atau lebih dikenali “cashless society” tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah jenayah melibatkan penggunaan wang seperti pengubahan wang haram, penyelewengan, rasuah dan lain–lain kerana penjenayah akan terus mencari jalan untuk melakukan kegiatan jenayah mereka.

Malah dengan adanya masyarakat tanpa tunai ini, masalah jenayah baru dipercayai akan timbul serta membawa masalah baru kepada masyarakat kita.

Penggunaan telefon pintar yang semakin meluas pada masa kini banyak mengubah gaya kehidupan seharian masyarakat kita. Peranti canggih tersebut mula mempengaruhi cara kehidupan seharian kita pada masa ini dan perubahan ini termasuklah perubahan terhadap cara kita berkomunikasi, menerima dan menyebarkan maklumat, berhibur, melakukan kerja serta cara kita membelanjakan wang.

Perubahan ini bukan sahaja melanda masyarakat kita, hampir semua masyarakat dunia mula mengunakan serta bergantung penuh pada aplikasi moden ini. Terdapat juga segelintir negara khususnya di benua Eropah yang kini sedang berjinak–jinak untuk kurang bergantung pada penggunaan mata wang tunai seperti wang kertas dan syiling yang digunakan sebagai mata wang sejak beratus tahun lamanya dan beralih kepada sistem baru yang lebih canggih tanpa memerlukan transaksi wang tunai.
Terdapat banyak kelebihan dan kekurangan dalam menjadikan masyarakat tanpa tunai.

Kewujudan dan penggunaan wang tunai dilihat mempunyai kos pengurusan yang tinggi. Sebagai contoh, ia perlu dikira dan disimpan oleh peniaga dan selepas itu perlu dipindahkan ke dalam akaun bank. Ia juga terdedah kepada beberapa risiko seperti kecurian, rompakan, salah guna, penyelewengan serta rasuah.

Penggunaan konsep “cashless” iaitu transaksi tanpa melibatkan wang tunai pula menjadikan operasi perniagaan lebih mudah diurus di samping menjimatkan masa dan kos serta dipercayai selamat untuk dikendalikan.

Oleh sebab itu, transaksi secara kad debit, perbankan mudah alih menggunakan telefon pintar, perkhidmatan seperti Touch ‘N Go dan seumpamanya menjadi keutamaan ramai pihak pada masa kini. Kerajaan juga menggalakkan rakyat berpindah menjadi masyarakat tanpa tunai seperti penggunaan dompet elektronik (e-wallet).

Namun, kita juga harus ketahui, dengan menjadikan masyarakat tanpa tunai tidak bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada kegiatan jenayah khususnya yang melibatkan penggunaan wang. Penjenayah akan cuba sedaya upaya untuk melakukan kegiatan jenayah sama ada kita menggunakan wang tunai ataupun mengunakan sebarang transaksi yang yang tidak melibatkan penggunaan wang tunai.

Lebih dibimbangi lagi, dengan menjadikan masyarakat sebagai masyarakat tanpa tunai ini akan lebih mendedahkan kita kepada pelbagai jenis jenayah baru yang melibatkan penggunaan teknologi moden. Penggunaan transaksi elektronik juga tidak terlindung daripada masalahnya yang tersendiri kerana ia juga boleh terdedah dengan pelbagai jenis risiko seperti yang melibatkan proses penggodaman, penipuan, penyamaran, penyalahgunaan maklumat dan lain-lain lagi.

Ramai pihak menjadi mangsa penipuan melalui penggunaan transaksi moden ini. Isu ini banyak kali didedahkan polis serta NGO. Jenis jenayah siber yang dilaporkan berlaku termasuklah penipuan dalam talian, penipuan melalui kad kredit, kecurian identiti dan pencerobohan data peribadi.

Pihak menjadi mangsa jenayah siber ini terdiri daripada golongan warga emas dan profesional. Perlu juga ditekankan, selain risiko berlakunya kegiatan jenayah melalui transaksi elektronik, kebergantungan terhadap transaksi elektronik akan mengundang masalah lain kepada masyarakat seperti masalah boros berbelanja, masalah hutang yang tidak dibayar serta terdedah terhadap bayaran sampingan seperti caj atau cukai perkhidmatan yang perlu dibayar sekiranya kita menggunakan transaksi elektronik.

Tambahan pula tidak semua tempat dalam negara kita disediakan dengan kemudahan transaksi secara elektronik, ini secara tidak langsung akan memberi beban tambahan kepada pihak pengguna untuk melakukan aktiviti harian mereka bagi membeli sesuatu barangan atau mengunakan sesuatu perkhidmatan.

Oleh yang demikian, penggunaan sistem wang secara konvensional seperti wang tunai dilihat masih diperlukan dalam negara kita untuk kemudahan dan kesenangan semua pihak untuk melakukan urusan harian mereka.

Sebelum menjadikan kita sebagai masyarakat tanpa tunai adalah penting supaya kita dilatih, dididik dan diberi kesedaran yang mencukupi terlebih dahulu mengenai risiko yang boleh berlaku sekiranya mereka tidak berhati-hati dan bertanggungajwab terhadap kemudahan transaksi kewangan yang bakal diberikan kepada mereka.

Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan peruntukan undang–undang negara benar–benar mencukupi dan betul–betul berkesan dalam mengatasi masalah jenayah melibatkan penggunaan transaksi tanpa tunai sebelum kita ingin menjadi masyarakat tanpa tunai.

Muzaffar Syah Mallow merupakan pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.