Mohon permit bela hidupan liar elak disaman

Bukan semua haiwan boleh dibela sesuka hati kerana sesetengahnya memerlukan permit daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Jika tidak, anda mungkin berdepan tindakan undang-undang seperti yang berlaku kepada bekas peserta program realiti “Rockanova”, Zarith Sofia didenda RM27,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Jan lalu atas kesalahan menyimpan dan mengurung anak beruang matahari di rumahnya, Jun tahun lepas.

Zarith atau nama sebenarnya, Zarith Sofia Mohd Yasin, 28, didenda RM20,000 atau penjara 6 bulan bagi atas pertuduhan menyimpan, manakala denda RM7,000 atau penjara 4 bulan bagi pertuduhan mengurung haiwan liar itu.

Menjadikan kes tersebut sebagai pengajaran, anda perlu tahu memiliki haiwan peliharaan tidak salah di sisi undang-undang sekiranya ia bukan dari spesis terancam seperti beruang matahari yang dilindungi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Jika ingin membela hidupan liar, anda perlu:

1. Rujuk jadual Peraturan-peraturan Pemuliharaan Hidupan Liar (Fi Lesen, Permit dan Permit Khas) di laman web Perhilitan. Pastikan nama haiwan tersebut berada dalam senarai boleh dipelihara.

2. Memohon permit pemeliharaan dengan Perhilitan bagi mengelakkan disaman.

Dalam hal ini, Perhilitan mempunyai kuasa memeriksa rumah anda sekiranya anda membela haiwan eksotik tanpa lesen.

Sebelum membeli haiwan eksotik, anda perlu memeriksa dengan teliti jika penjual itu mempunyai lesen sah.

Antara dokumen yang perlu disediakan untuk permohonan permit:

. Salinan kad pengenalan atau pasport (jika bukan warganegara Malaysia).
. Resit pembelian haiwan eksotik dari kedai yang mempunyai lesen menjual haiwan          eksotik.
. Cetak dan isu borang Permohonan Lesen/Permit.
. Gambar haiwan eksotik dicetak pada kertas A4 (lebih baik gambar berwarna).

Selepas lengkap semua dokumen itu, anda perlu memeriksa sama ada haiwan eksotik sudah dipakaikan alat penandaan.

Haiwan eksotik yang dibeli dari kedai berlesen akan mempunyai penandaan, melainkan ia masih kecil.

Penandaan itu wujud dalam bentuk alat peranti (mikrocip) diimplan yang boleh diimbas, kolar atau rantai, cecincin (gelung) atau tatu.

Selesai semua proses di atas, bawalah dokumen dan alat penandaan ke Jabatan Perhilitan berdekatan anda untuk memohon permit.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]