Pemimpin Umno curi dari rakyat tunggu giliran ke penjara, kata Azmin

Azmin Ali berkempen untuk calon Warisan, Karim Bujang dalam sebuah ceramah di Kampung Pimping di Beaufort malam tadi.

BEAUFORT: Dua hari menjelang pengundi bagi Pilihan Raya Kecil Kimanis, Mohamed Azmin Ali meminta pengundi memberi isyarat jelas dengan menolak parti yang “mencuri” daripada mereka.

“Hari ini pencuri dan perompak sedang berada di Kimanis,” kata Azmin kepada kira-kira 300 hadirin dalam sebuah ceramah di Kampung Pimping malam tadi.

“Bossku pun ada di sini malam ni…tak tahu malu punya orang,” katanya merujuk slogan “Malu Apa Bossku” yang dipopularkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata, pemimpin Umno termasuk Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi akan dipenjarakan dan mempersoalkan kesetiaan calon Barisan Nasional di PRK Kimanis, Mohamad Alamin.

“Kamu tak malu ke mewakili sebuah parti yang sudah rosak? Orang Semenanjung sudah tolak Umno. Umno sudah ditalkinkan.”

Alamin berdepan calon Warisan, Karim Bujang yang kalah tipis 156 undi kepada calon BN, Anifah Aman pada pilihan raya umum 2 tahun lalu.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi, memberi jaminan kepada orang Sabah yang Putrajaya mengutamakan negeri itu di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Katanya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sedar pembangunan tertumpu di kawasan seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Pulau Pinang.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, Mahathir pernah memintanya berkongsi kekayaan Selangor dengan negeri lain.

“Saya datang dari Selangor. Selangor penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia. Kita menyumbang 23%. Perdana menteri panggil saya, (beliau berkata) Azmin cukuplah, Selangor dah kaya, bagilah negeri lain.

“Saya tanya Tun negeri mana, tanpa ragu-ragu dia sebut beri kepada Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah,” katanya.