PPBM tunggu keputusan mahkamah sebelum tentu nasib Adun Dengkil, kata Dr M

Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu tidak boleh menjatuhkan hukuman sebelum mahkamah mendapati Adun Dengkil Ahif Syan Abdullah bersalah.

KUALA LUMPUR: PPBM mengambil ketetapan menunggu siasatan pihak berkuasa sebelum membuat keputusan berhubung nasib ketua Pemuda PPBM Selangor, Adhif Syan Abdullah susulan penahanan beliau bersama 16 lagi individu dalam serbuan polis di sebuah kondominium di Puchong Ahad lalu.

Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu tidak boleh menjatuhkan hukuman sebelum mahkamah mendapati beliau yang juga Adun Dengkil bersalah.

“Kita tunggu keputusan (mahkamah), parti mempunyai hak untuk mengambil tindakan.

“Kita tidak boleh anggap mereka bersalah tanpa mahkamah membuat keputusan terlebih dahulu, jawatan pun kita sudah gantung,” katanya pada satu sidang media di Yayasan Al-Bukhary di sini selepas mempengerusikan mesyuarat parti itu hari ini.

Terdahulu Pemuda PPBM menggantung Adhif sebagai ketuanya di Selangor dan penolong setiausaha sayap itu, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, selepas mereka dinamakan antara 17 individu ditahan dalam satu serbuan polis Ahad lalu.

Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, penggantungan 2 pemimpin tersebut adalah bagi membantu siasatan polis dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan penahanan 17 individu, termasuk 6 wanita di sebuah kondominium di Jalan Puchong awal pagi Ahad atas dakwaan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian.

Abdul Hamid berkata, hasil pemeriksaan di kondominium itu menemui plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin seberat 0.5 gram dan satu piring kaca yang turut mempunyai dadah jenis sama seberat 0.3 gram.

Sementara itu dalam sidang media yang sama Mahathir memaklumkan seramai 363,167 ahli PPBM bakal terlibat dalam pemilihan parti di 189 bahagian seluruh negara.

Jumlah tersebut kata Mahathir merupakan angka rasmi selepas parti membuat pemutihan ahli sebelum ini.

“Kita sudah laksanakan pemutihan ahli parti sebab itu jumlah ini nampak kecil. Antara sebabnya lambat mendaftar, lambat melaporkan kepada ibu pejabat, tidak bayar yuran. Ini semua normal,” katanya.

Beliau juga turut memaklumkan tarikh baru mesyuarat peringkat cawangan, bahagian dan juga perhimpunan nasional PPBM.

“Mesyuarat cawangan PPBM akan bermula pada 15 Feb 2020 hingga 29 Mac 2020, bahagian pada 18 April 2010 dan perhimpunan (nasional) pada 25 hingga 28 Jun,” katanya.