Sarapan percuma untuk semua pelajar tak praktikal, kata Wee

PETALING JAYA: Program sarapan percuma kerajaan di sekolah rendah bukan idea yang praktikal, kata bekas timbalan menteri pendidikan dan Presiden MCA, Wee Ka Siong, selepas Putrajaya mengecilkan inisiatif itu hanya kepada pelajar memerlukan.

Wee juga berkata program itu satu pembaziran kerana sukar untuk mengukur corak sarapan semua kanak-kanak.

“Sesetengah ibu bapa sediakan amakan untuk anak-anak, ada hanya sediakan semangkuk bijiran dan buah-buahan.

“Sekiranya anda sediakan sarapan standard, tak semua orang mahu memakannya dan itu akan menyebabkan pembaziran,” kata ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, yang juga pemangku menteri pendidikan, berkata program itu akan diteruskan di sekolah rendah tetapi hanya untuk pelajar memerlukan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai masa depan program itu susulan peletakan jawatan Maszlee Malik.

Maszlee para Ogos tahun lepas mengumumkan sarapan percuma akan disediakan untuk kanak-kanak di sekolah rendah mulai bulan ini bagi memastikan mereka mendapat akses kepada makanan berkhasiat dan mereka boleh kekal sihat dan tumpu pada pelajaran harian.

Wee berkata program itu tidak patut meliputi kanak-kanak dari keluarga kaya yang mungkin tidak mahu makan makanan percuma.

“Juga ada isu mengenai masa yang diperuntukkan untuk bersarapan. Nak dimasukkan bagaimana? Jadual sekolah sudahpun padat,” katanya.

Beliau menyarankan langkah lebih baik adalah mengubah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) supaya hanya pelajar yang mengambil bahagian datang lebih awal.

“Apabila kerajaan mampu untuk meluaskan program itu, bolehlah ia dipertimbangkan tapi pada masa ini, ketidaktentuan dasar memburukkan imej kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial tidak bersetuju dengan langkah mengehadkan sarapan percuma kepada pelajar miskin, mengatakan ia bertentangan dengan matlamat kesihatan program itu.

“Tujuan program itu bukan hanya untuk emgnurangkan bilangan pelajar bersekolah dalam keadaan lapar tetapi juga menangani masalah pemakanan tak seimbang yang semakin buruk seperti yang boleh dilihat daripada kadar obesiti, susut badan, diabetes, dan lain-lain penyakit tidak berjangkit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Azrul Mohd Khalib kepada FMT.

Azrul berkata tinjauan kesihatan kebangsaan Kementerian Kesihatan menunjukkan pemakanan tak seimbang masalah pelbagai lapisan masyarakat.

Program sarapan percuma itu akan membantu menanam tabiat pemakanan yang sihat dari usia muda, sama ada keluarga kaya atau miskin, katanya.

Azrul berkata keberkesanan program seperti itu terbukti, mengambil contoh Jepun, di mana makan tengah hari percuma yang menyediakan makanan sihat menjadi sebahagian daripada pendidikan anak-anak.

“Kanak-kanak di Jepun antara yang tersihat di dunia.

“Meyemak semula program itu hanya untuk memberi makan keluarga miskin adalah diskriminasi dan melepaskan peluang mengajar semua anak-anak kita menjadi individu bergaya hidup sihat.”

Setiausaha Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Tunku Munawirah Putra berkata mereka faham rasional kerajaan mengehadkan program untuk pelajar miskin.

“Ada faktor kos bagi kerajaan, serta mereka yang tidak perlukan sarapan percuma tidak akan pergi sekolah lebih awal untuk menikmatinya dan itu boleh membawa kepada pembaziran,” katanya.

Munawirah berkata kejayaan program itu bergantung kepada kemampuan vendor menyediakan makanan berkhasiat yang berkualiti.

“Perlu pilih vendor yang betul dan dipantau bagi menjaga standard makanan,” tambahnya.