Teksi, bas dan lori tidak dapat faedah pengurangan kadar tol, kata Najib

Menurut bekas perdana menteri Najib Razak kos pengangkutan sepatutnya akan turun dalam tempoh 18 tahun jika konsesi PLUS tamat pada 2038 seperti dijadualkan sebelum ini.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, teksi, bas dan lori tidak akan mendapat apa-apa faedah daripada langkah terbaru kerajaan menurunkan kadar tol, selain menambah bahawa Putrajaya gagal menunaikan janjinya untuk mengurangkan kos pengangkutan.

Beliau berkata, berdasarkan kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri terdahulu hari ini, diskaun 18% bayaran tol hanyalah untuk kenderaan persendirian.

“Ini bermakna teksi, bas, lori dan syarikat pengakutan tidak dapat apa-apa faedah daripada pengumuman ini.

“Malah syarikat pengangkutan perlu tanggung kos tol untuk tempoh lanjutan 20 tahun lagi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu hari ini, kerajaan mengumumkan bahawa semua kenderaan persendirian yang menggunakan lebuh raya yang dikendalikan oleh PLUS Malaysia Bhd akan membayar kadar tol lebih rendah bermula bulan depan.

Lebuh raya tersebut termasuk Lebuhraya Utara Selatan, NKVE, ELITE, Linkedua, LPT2, Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang.

Sebagai balasan, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh konsesi PLUS selama 20 tahun lagi, iaitu dari 2038 hingga 2058.

Ia juga berkata, sepanjang tempoh konsesi 38 tahun itu, kadar tol tidak akan dinaikkan.

Najib berkata, kos pengangkutan sepatutnya akan turun dalam tempoh 18 tahun jika konsesi PLUS tamat pada 2038 seperti dijadualkan sebelum ini.

“Rakyat boleh menikmati sedikit penurunan harga barang pada masa itu.”

Terdahulu Najib berkata, pemenang terbesar daripada pengumuman tersebut adalah kerajaan Pakatan Harapan (PH), selain pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya PLUS.

Beliau berkata, PH akan mendakwa bahawa ia adalah langkah untuk menunaikan janji manifestonya.

Kerajaan PH juga katanya, dapat mengelak daripada membayar pampasan kepada KWSP.

Syarikat pelaburan kerajaan Khazanah Nasional Bhd memiliki 51% PLUS, pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia, melalui UEM Group Bhd.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki baki 49% PLUS.

“(Lim) Guan Eng tentu gembira,” kata Najib merujuk kepada menteri kewangan.