Terpulang kepada Kelantan bagaimana guna dana diberi Putrajaya, kata Dr Mahathir

Sebelum ini tular di media sosial gambar kenderaan rasmi baru menteri besar Kelntan, iaitu kereta Mercedes Benz dengan nombor plat DV 1 yang dianggarkan bernilai hampir RM700,000. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kelantan bebas untuk menggunakan dana yang diberi Putrajaya, termasuklah membabitkan
peruntukan khas sebanyak RM400 juta, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan pusat tidak meletakkan sebarang syarat kepada Kelantan selepas memberikan dana kepada kerajaan pimpinan PAS itu.

“Kita bagi duit kita tidak bagi syarat. Apa yang mereka (Kelantan) nak buat, mereka buatlah, kalau dia buat benda tidak betul, rakyat akan hukum,” katanya ketika diminta mengulas pembelian kereta mewah untuk kegunaan menteri besar, exco dan pegawai tertinggi negeri itu selepas tular di media sosial mengatakan kerajaan negeri menggunakan peruntukan sebanyak RM400 juta untuk membeli kereta Mercedes Benz.

Pejabat menteri besar Kelantan mengesahkan pembelian sebuah kenderaan rasmi baru untuk kegunaan Menteri Besar Ahmad Yakob, selepas tular di media sosial mengatakan kerajaan negeri menggunakan peruntukan khas RM400 juta untuk membeli sebuah kereta jenis Mercedes Benz.

Menerusi penjelasan pejabat menteri besar Kelantan, pembelian kereta untuk menteri besar, exco dan pegawai tertinggi kerajaan telahpun dijelaskan Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah sejak 12 Sept 2018 lalu.

Menurut Mohd Amar, kenderaan itu akan dibeli secara berperingkat bermula 2018 dengan permulaannya kepada setiausaha kerajaan negeri, exco dan diikuti menteri besar.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menggantikan kenderaan rasmi bagi kegunaan menteri besar dan exco negeri secara berperingkat setelah membuat penelitian mengenai kenderaan lama yang digunakan sejak 10 hingga 12 tahun lalu.

“Kenderaan rasmi menteri besar dengan nombor pendaftaran DV 1 adalah kenderaan yang digunakan sejak pentadbiran Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan pemberian Sultan Kelantan,” menurut kenyataan itu.

Ia turut menafikan pembelian kenderaan itu menggunakan dana RM400 juta yang diberikan Putrajaya.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai gambar kenderaan rasmi menteri besar iaitu Mercedes Benz dengan nombor plat DV 1 yang dianggarkan bernilai hampir RM700,000.