152 burung mati tersangkut tali layang-layang di India

Sukarelawan cuba menyelamatkan burung yang tersangkut tali layang-layang di atas pokok di Sanand, kira-kira 40km dari Ahmedabad di barat India. (Gambar AFP)

SANAND: Lebih 150 burung mati dibunuh tali layang-layang dalam satu perayaan keagamaan tahunan di barat India yang disertai ribuan orang.

Pegawai pada Jumaat berkata, sukarelawan berusaha menyelamatkan merpati, burung botak dan perling, tetapi 152 ekor burung mati sebelum sempat dirawat.

Ratusan burung yang lain cedera di Gujarat dan Maharashtra, selepas tersangkut tali bersalut serbuk kaca untuk tujuan memutuskan tali lawan.

Harshil Shah yang bekerja dengan sebuah kumpulan sukarelawan menyelamatkan burung, berkata pusat mereka di 2 negeri itu menerima kira-kira 750 panggilan pada 14 dan 15 Jan lalu ketika perayaan Makar Sakranti berlangsung.

“Kami cuba mengurangkan masa respons ketika panggilan kecemasan diterima untuk menyelamatkan sebanyak mungkin burung, tetapi 20% burung itu mati selepas tersangkut tali,” katanya kepada AFP.

Satu lagi kumpulan menyelamatkan burung di pinggir bandar Mumbai dilaporkan merawat burung hantu, burung sewah padang dan tupai yang cedera.

Di Surat, panggilan kecemasan diterima akibat orang awam yang cedera ketika mengejar layang-layang terputus atau jatuh dari bumbung bangunan.

Rabu lalu, perkhidmatan kereta api di utara bandar Lucknow dihentikan selama 12 minit kerana seutas tali layang-layang tersangkut di wayar elektrik berkuasa tinggi, insiden ke-4 dalam tempoh 10 bulan ini.

Penggunaan tali manjha dilarang di New Delhi dan tempat lain, tetapi ia masih digunakan secara meluas akibat penguatkuasaan lemah.

Kemalangan motosikal akibat penunggangnya dijerut tali manjha yang kadangkala meragut nyawa juga satu kebiasaan.