200,000 vaksin influenza akan tiba mulai bulan ini, kata menteri

Dr Dzulkefly Ahmad menasihatkan klinik dan hospital menjual vaksin influenza pada harga berpatutan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata kira-kira 100,000 dos vaksin influenza akan tiba di Malaysia bulan ini.

Ia terdiri daripada 16,800 dos yang tiba hari ini, manakala 15,000 dan 67,000 dos lagi akan tiba pada 20 serta 27 Jan nanti.

“Sebanyak 100,000 lagi dos akan tiba dalam masa 2 hingga 3 minggu,” tulisnya di Twitter hari ini.

Beliau menggesa klinik dan hospital supaya menjual vaksin itu pada harga berpatutan.

Setakat ini, sebuah sekolah dan 3 kelas di 2 sekolah ditutup susulan penularan influenza.

Sekolah Menengah Sains Teluk Intan di Bagan Datuk, Perak ditutup sejak 11 hingga 19 Jan ini selepas 10 pelajarnya positif Influenza A (H1N1).

Dua kelas di SJKC Li Hwa, Pulau Pinang ditutup mulai 7 Jan hingga esok dan sebuah kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal, Kepala Batas ditutup semalam hingga 23 Jan ini, selepas 2 pelajar dijangkiti influenza.

Setakat semalam, Selangor mencatatkan kes influenza tertinggi, iaitu 717 pelajar di 248 sekolah, diikuti Pulau Pinang (198 pelajar di 96 sekolah), Perak (94 pelajar di 55 sekolah), Pahang (53 pelajar dan 3 guru di 9 daerah) dan Negeri Sembilan (30 pelajar).

Influenza ialah jangkitan dengan gejala seperti demam, selsema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.