Esscom sahkan 5 nelayan Indonesia diculik di Sabah, 3 terselamat

Komander Esscom, Hazani Ghazali berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan selepas mendapat maklumat mengenai penculikan itu daripada 3 nelayan terselamat. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Hazani Ghazali mengesahkan 5 nelayan warga Indonesia diculik di perairan Tambisan, Lahad Datu pada Khamis lalu.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku antara 9 hingga 10 malam, apabila 8 lelaki yang menaiki sebuah kapal nelayan keluar menangkap ikan di perairan itu sebelum 5 daripada mereka dipercayai diculik.

“Pihak Esscom sedang menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut daripada 3 nelayan yang selamat itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan 8 nelayan dipercayai hilang di perairan Tambisan, Tungku, dekat Lahad Datu.

Kapal nelayan yang berdaftar di Sandakan itu dikatakan ditemui tanpa anak kapal di perairan Tangusu Bay pada 12.40 tengah hari Jumaat.

Difahamkan, lokasi kapal itu ditemui berhampiran lokasi kejadian culik sebelum ini.