Keputusan tidak jual PLUS, kerajaan terlepas peluang untuk berjimat, kata pakar ekonomi

Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan konsesi lebuh raya PLUS di bawah Khazanah dan KWSP.

GEORGE TOWN: Seorang pakar ekonomi berkata, keputusan kerajaan untuk tidak menjual syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bermakna ia terlepas peluang untuk berjimat dan menggunakan wang itu untuk tujuan lain yang lebih mendesak.

Ramon Navaratnam berkata, jika satu pihak mengambil alih PLUS dari tangan kerajaan, wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk membantu golongan miskin dan mengurangkan jurang pendapatan dalam jangka panjang.

“Jika lebuh raya tersebut tidak diswastakan, sektor awam akan terbeban. Ia sepatutnya merupakan peluang untuk menghentikan pelaburan dalam syarikat berkait kerajaan (GLC). Tetapi nampaknya kita masih mengarah ke jalan lama.

“Saya kecewa kerana jika kita menjual PLUS, perolehannya boleh digunakan untuk projek pembasmian kemiskinan dan pelan pembangunan komuniti untuk golongan B40.

“Matlamat perkongsian kemakmuran perlu diberikan fokus, tetapi kita lihat golongan kaya lebih mendapat manfaat (daripada program kerajaan lepas) dan golongan miskin terus menderita.

“Golongan miskin perlu diberikan keutamaan. Kita perlu mengurangkan jurang pendapatan. Itu keutamaannya,” kata bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan itu.

Navaratnam berkata, peluang lain yang terlepas susulan keputusan tidak menjual PLUS ialah kelahiran dasar pengangkutan kebangsaan yang baru dan mampan.

Ramon Navaratnam.

Katanya, walaupun pengumuman untuk mengurangkan kadar tol di lebuhraya PLUS bermula bulan depan dialu-alukan, namun ia sepatutnya dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun katanya, kadar tol lebih rendah itu hanyalah kegembiraan jangka pendek, sedangkan kerajaan tetap terlepas peluang untuk menetapkan matlamat baru dasar pengangkutan negara.

“Apakah maknanya keputusan tidak menjual PLUS dan kadar tol lebih rendah ini ke atas dasar pengakutan masa depan Malaysia? Apakah kita akan menggalakkan penggunaan kereta, kereta api atau sistem pengangkutan sungai di Sabah dan Sarawak?

“Ini merupakan isu yang dibangkitkan beberapa dekad lepas, tetapi nampaknya tidak wujud keazaman politik untuk meneruskannya. Pengangkutan awam adalah langkah masa depan.

“Dengan jumlah kematian jalan raya yang tinggi, terutama di lebuh raya, kita terus menggalakkan penggunaan kereta dan pemilikan motosikal. Selain itu, kita tawarkan kadar tol lebih rendah yang berkesudahan dengan angka kenderaan lebih banyak.

“Sistem kereta api boleh dibangunkan pada kos lebih rendah dan dikendalikan dengan lebih cekap, sekali gus mengurangkan jumlah kemalangan di jalan raya,” katanya.

Ketika mengumumkan keputusan mengekalkan PLUS di bawah Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Kabinet telah mengkaji semua cadangan yang dibuat oleh pembida.

Maju Holdings, Widad Business Group, RRJ Capital, taikun Halim Saad dan Wong Gian Kui membuat tawaran untuk membeli PLUS daripada kerajaan.

Putrajaya juga mengumumkan bahawa kadar tol dikurangkan sebanyak 18% bermula bulan depan dan tidak dinaikkan untuk tempoh 38 tahun akan datang.

Sebagai balasan, kerajaan melanjutkan tempoh konsesi PLUS selama 20 tahun, iaitu dari 2038 hingga 2058.

Lebuh raya yang dikendalikan oleh PLUS, termasuk Lebuhraya Utara Selatan (NSE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), lebuhraya ELITE dan Jambatan Pulau Pinang meliputi jarak 800km.