Kerajaan sedia kaji bayaran terus e-Tunai ke akaun BSH, kata Guan Eng

Program e-Tunai Rakyat membabitkan peruntukan RM450 juta dilancarkan Selasa lepas bagi membolehkan rakyat berkelayakan menuntut wang percuma RM30.

BUTTERWORTH: Kerajaan bersedia mengkaji dan pertimbangkan pemberian RM30 menerusi program e-Tunai Rakyat secara kemasukan ke dalam akaun kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang tidak mempunyai telefon pintar, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Kita boleh kaji pada masa akan datang berhubung perkara itu. Biar kita jalankan dahulu program ini (e-Tunai Rakyat) dan lihat perkembangannya.

“Kalau ada banyak rungutan tentang perkara ini (permintaan memasukkan RM30 ke dalam akaun), kita akan pertimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, setakat 12 tengah hari ini, sebanyak 1.7 juta permohonan menuntut wang percuma RM30 menerusi e-Tunai Rakyat diterima sejak dilancarkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1.32 juta permohonan diluluskan membabitkan hampir RM40 juta, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pasar raya besar Tesco Bagan Ajam bersempena pelancaran inisiatif e-Tunai Rakyat di sini, hari ini.

Program e-Tunai Rakyat membabitkan peruntukan RM450 juta dilancarkan Selasa lepas bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut wang percuma RM30 menerusi 3 pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Lim berkata, e-Tunai Rakyat merupakan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan sistem pembayaran digital sebagai satu langkah penting ke arah masyarakat tanpa tunai.

“Sistem pembayaran tanpa tunai adalah lebih baik, efisien bagi memastikan semua dapat dibuat secara sahih, teratur tanpa unsur penyalahgunaan dan rasuah,” katanya.