Kumpulan pro, anti-Zuraida bertembung di ibu pejabat PKR

Kumpulan anti-Zuraida Kamaruddin membawa kain rentang mendesak PKR memecat menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu di ibu pejabat PKR hari ini.

PETALING JAYA: Sekumpulan penyokong Zuraida Kamaruddin bertembung dengan kumpulan mendesak naib presiden PKR itu dipecat di ibu pejabat parti pagi ini.

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengadakan mesyuarat hari ini, ketika khabar angin mendakwa Zuraida yang merupakan sekutu Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, mungkin dipecat.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu didakwa menghina ahli parti dan mendedahkan butiran perbualannya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Kumpulan penyokong Zuraida Kamaruddin melaungkan slogan ketika mesyuarat MPP berlangsung di ibu pejabat PKR hari ini.

Penyokong Zuraida melaungkan “Hidup Zuraida”, “Zuraida Power” dan “Lawan tetap lawan”, manakala kumpulan pendesak yang membawa kain rentang melaungkan “Pecat Zuraida” ketika mesyuarat MPP berlangsung.

Dua individu daripada kumpulan pendesak terbabit dalam kekecohan kecil, tetapi segera dileraikan rakan mereka ketika polis mengawal keadaan.

Kumpulan pendesak mendakwa penyokong Zuraida yang rata-ratanya memakai baju parti, bukan ahli PKR.

Mesyuarat bulanan MPP yang dipengerusikan Anwar hari ini turut dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, Azmin dan Zuraida tidak kelihatan dalam mesyuarat itu.