Majoriti ketua negeri desak PKR pecat Zuraida

Dari kiri ialah Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (Perak), Halim Bachik (Melaka), Azan Ismail (Terengganu), Johari Abdul Ghani (Kedah), Fuziah Salleh (Pahang) dan Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan) yang menyokong pemecatan Zuraida Kamaruddin.

PETALING JAYA: Sembilan ketua PKR negeri mendesak Lembaga Disiplin memecat Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin atas dakwaan menghina parti dan tidak menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Ketua PKR Kedah, Johari Abdul Ghani berkata, kehadiran dan kedudukan Zuraida dalam parti hanya mengeruhkan keadaan serta memberi imej negatif kepada parti.

“Kami mendesak setelah mendapat sokongan dan desakan dari bawah, Zuraida perlu dipecat daripada parti. Kami meminta Lembaga Disiplin mengkaji sedalam-dalamnya tuntutan kami.

“Kedudukan beliau dalam parti sekarang ini langsung tidak membantu parti, tidak membantu presiden. Kami melihat kehadiran beliau tidak ada makna, selain mengeruhkan keadaan dan mungkin memudaratkan parti di masa depan,” katanya selepas mesyuarat MPP di ibu pejabat PKR hari ini.

Selain Johari, 8 ketua negeri yang mendesak Zuraida dipecat ialah Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (Perak), Halim Bachik (Melaka), Syed Ibrahim Syed Noh (Johor), Azan Ismail (Terengganu), Fuziah Salleh (Pahang), Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan) dan Amran Kamarudin (Perlis).

Christina Liew (Sabah), Baru Bian (Sarawak) dan Amirudin Shari (Selangor) tidak menghadiri mesyuarat MPP hari ini.

Ditanya risiko memecat Zuraida yang mempunyai sokongan kuat Wanita PKR, Johari berkata, mereka perlu mengambil risiko itu kerana ketua Wanita Pakatan Harapan terbabit memberi masalah kepada parti.

“Kami sanggup ambil risiko berbanding menyimpannya. Dia langsung tidak membantu, apabila ahli dan pemimpin tidak menjunjung perlembagaan parti, maka parti akan hadapi masalah. Sebab itu apabila perlanggaran berlaku, kita perlu tegas.”

Beliau mendakwa Zuraida tidak menghadiri semua 13 mesyuarat MPP tahun lalu dan mengeluarkan kenyataan yang mencalarkan imej parti.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Zuraida diberikan 14 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab Lembaga Disiplin yang dipercayai ada kaitan dengan ucapannya di sebuah hotel bulan lalu.

Katanya, Lembaga Disiplin akan membuat keputusan selepas mendengar penjelasan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

Difahamkan, Zuraida tidak menghadiri mesyuarat MPP hari ini kerana berada di Sabah untuk Pilihan Raya Kecil Kimanis.

Khabar angin mengenai pemecatan Zuraida bertiup kencang selepas bekas ketua Wanita PKR didakwa menghina ahli parti dan mendedahkan butiran perbualannya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, ketika berucap dalam satu majlis makan malam anjuran Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pada 8 Dis lalu.

Beliau turut mendakwa Anwar cuba meyakinkan beliau yang salah seorang lelaki dalam video seks sejenis tersebar Jun tahun lalu ialah Azmin.

Katanya, penilaian Anwar dilihat terjejas akibat pengaruh “budak pampers” dan “gengster” dalam parti yang merujuk Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil serta Farhash.