Mansuh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dulu, NGO beritahu Putrajaya

Center for Independent Journalism (CIJ) berkata, usaha untuk mewujudkan sebuah majlis media telah bermula beberapa dekad lepas.

PETALING JAYA: Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 hendaklah dimasuhkan sebelum sebuah Majlis Media boleh diwujudkan, kata sebuah NGO hari ini.

Center for Independent Journalism (CIJ) berkata, usaha untuk mewujudkan sebuah majlis media telah bermula beberapa dekad lepas.

Ia tidak berjaya kerana kerajaan tidak mahu memansuhkan PPPA, katanya dalam satu kenyataan.

“Kewujudan serentak PPPA dan majlis media tidak akan mencapai matlamat penubuhan sebuah badan tapisan kendiri bagi mengawal selia standard media.

“Sukar bagi orang awam dan industri media untuk menerima Majlis Media secara serius sekiranya Kementerian Dalam Negeri masih mempunyai kuasa untuk menghantar surat tunjuk sebab kepada media, memanggil editor dan mengancam untuk membatalkan lesen.

“Penubuhan Majlis Media mestilah dilakukan bersekali dengan pemansuhan PPPA.

“Majlis Media bertujuan memperbaiki standard dan etika media, selain menyumbang kepada kredibiliti pertubuhan media dengan menjunjung standard antarabangsa dan menyediakan ruang ke arah arbitrasi aduan awam.

“Matlamat berkenaan boleh dicapai dengan baik apabila ia dilakukan secara sukarela oleh industri media dan tidak diarahkan oleh kerajaan,” kata CIJ.

Ia berkata, PPPA sebaliknya memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal indsutri media.

“Kita telah lihat bagaimana ia digunakan selama ini bagi memastikan media akur kepada kehendak kerajaan dan tidak mengancamnnya dari segi politik.

“Keadaan ini tidak meningkatkan standard etika dalam kalangan media kerana terdapat banyak kes amalan tidak beretika yang tidak diambil tindakan oleh kerajaan selagi ia tidak berlawanan dengan objektif politik pemerintah.”

CIJ berkata, masyarakat awam sudah sekian lama menggesa supaya PPPA dimansuhkan kerana ia menggugat kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Ia juga berkata, CIJ bersedia untuk bekerjasama dengan jawatankuasa pro tem dalam usaha penubuhan Majlis Media Malaysia.

Ia mengalu-alukan langkah kerajaan membantu memudahkan proses penubuhan majlis berkenaan dan dalam mengadakan rundingan dengan industri media, masyarakat awam dan pemegang taruh lain.