Menteri India, Malaysia mungkin bincang isu sawit di forum Switzerland

India mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, di luar Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Menteri perdagangan dari India dan Malaysia mungkin bertemu di luar mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos minggu depan susulan kontroversi minyak sawit antara kedua-dua negara, kata jurucakap kerajaan Malaysia kepada Reuters.

New Delhi berulang kali membantah tindakan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengkritik dasar terbaru negara itu yang didakwa mendiskriminasi umat Islam.

Malaysia ialah pengeluar serta pengeksport minyak sawit ke-2 terbesar di dunia, dan sekatan India ke atas minyak sawit bertapis yang dilaksanakan minggu lalu dianggap sebagai tindakan balas terhadap kritikan Mahathir ke atas dasar negara itu.

Khamis lalu, Menteri Perdagangan India, Piyush Goyal menafikan kerajaannya cuba mengenakan sekatan ke atas komoditi itu dari Malaysia.

Tiada agenda ditetapkan bagi mesyuarat yang dicadangkan antara Goyal serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, kata jurucakap kementerian itu semalam yang memaklumkan India yang meminta pertemuan itu diadakan.

Sumber kerajaan India berkata, satu mesyuarat mungkin diadakan dengan Leiking, tetapi jurucakap Kementerian Perdagangan India tidak mengulas perkara itu.

Khamis lalu, Reuters melaporkan Malaysia tidak mahu memburukkan isu minyak sawit itu dengan bercakap mengenai tindakan balas, selepas penasihat media dan komunikasi kepada perdana menteri, A Kadir Jasin menggesa Putrajaya mempertimbangkan tindakan ke atas produk dan pendatang dari India. Malaysia sebaliknya mahu menggunakan pendekatan diplomasi.

Dua sumber kerajaan India berkata, New Delhi menjangkakan Mahathir mengurangkan kritikannya terhadap dasar negara itu.

Satu lagi sumber berkata, sebab lain yang terus menjejaskan hubungan kedua-dua negara ialah penceramah dari India, Dr Zakir Naik yang menetap di Malaysia.

Naik yang menafikan tuduhan pengubahan wang dan ucapan kebencian di India, mempunyai status penduduk tetap di negara ini dan tinggal di Malaysia lebih 3 tahun.