Mesyuarat PKR tak bincang desakan pecat Zuraida

Johari Abdul (kiri) cuba menenangkan sekumpulan ahli PKR yang mendesak pemecatan Zuraida Kamaruddin di luar ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini tidak membincangkan desakan untuk memecat Zuraida Kamaruddin.

“Ini cuma mesyuarat MPP yang biasa, saya pun tidak tahu mengada ada perhimpunan di sini hari ini. (Timbalan Presiden PKR) Azmin (Ali) tidak hadir. Namun MPP ambil maklum himpunan ini.

“Kami bincang isu disiplin, tetapi soal memecat Zuraida tidak dibincangkan,” katanya selepas cuba meredakan ketegangan antara kumpulan pro dan anti-Zuraida di luar ibu pejabat PKR di sini.

Turut hadir untuk menenangkan keadaan antara 2 kumpulan ahli parti itu ialah Ketua PKR Kedah, Johari Abdul.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang.

Khabar angin pemecatan Zuraida bertiup kencang selepas menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu didakwa menghina ahli parti dan mendedahkan butiran perbualannya dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Terdahulu, kumpulan pro dan anti-Zuraida membawa kain rentang dan melaungkan slogan sebelum polis mengarahkan mereka menjauhi satu sama lain.