Penduduk China lepasi angka 1.4 bilion

Data Biro Statistik China menunjukkan golongan berusia antara 16 dan 59 tahun menyusut sebanyak 890,000 berbanding tahun sebelumnya kepada 896.4 juta orang yang menyumbang kepada 64% daripada jumlah penduduk. (Gambar AP)

BEIJING: Jumlah penduduk di tanah besar China melepasi angka 1.4 bilion pada akhir tahun 2019, lapor agensi berita Xinhua memetik data rasmi.

Jumlah penduduk di tanah besar negara itu mencecah 1.40005 bilion pada akhir tahun lepas, meningkat sebanyak 4.67 juta berbanding tahun sebelumnya, demikian menurut data Biro Statistik Negara (NBS).

Angka itu tidak termasuk penduduk di wilayah pentadbiran khas Hong Kong dan Macao serta Taiwan atau rakyat China yang menetap di luar negara, menurut NBS.

Sementara itu, populasi golongan usia yang bekerja terus menyusut.

Data menunjukkan golongan itu yang berusia antara 16 dan 59 tahun, menyusut sebanyak 890,000 berbanding tahun sebelumnya kepada 896.4 juta orang yang menyumbang kepada 64% daripada jumlah penduduk.

Data NBS juga menunjukkan jumlah golongan berusia 60 tahun dan ke atas meningkat kepada 4.39 juta yang menyumbang kepada 18.1% daripada jumlah penduduk.

Sejumlah 14.65 juta bayi dilahirkan pada 2019, yang menyaksikan penurunan sebanyak 580,000 berbanding tahun sebelumnya dan terus berkurangan selama 3 tahun berturut-turut.

Negara itu mula membenarkan pasangan berkahwin mempunyai 2anak pada 2016, sekali gus menamatkan dasar seorang anak yang dilaksanakan selama berdekad-dekad bagi menangani kebimbangan yang semakin memuncak berkaitan populasi menua.