Pengerusi negeri dilantik tidak perlu campur pentadbiran parti, kata ketua Wanita PKR

Ketua Wanita PKR Haniza Talha.

PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR Haniza Talha mengingatkan pengerusi PKR negeri yang mendesak naib presiden Zuraida Kamaruddin dipecat supaya tidak mencampuri urusan pentadbiran parti.

Haniza berkata, pengerusi PKR Kedah Johari Abdul dan beberapa pengerusi PKR negeri yang mendesak pemecatan Zuraida harus ingat bahawa mereka merupakan pemimpin yang tewas dalam pemilihan parti.

“Jika keputusan pemilihan parti pada 2018 lalu jadikan ukuran, Johari yang kini pengerusi MPN Kedah sendiri tewas dalam persaingan 3 penjuru di cabang Sungai Petani dan menduduki tangga ke 6 untuk jawatan naib presiden pusat.

“Jumlah undi diperolehnya hanya 9.9% daripada keseluruhan hampir 500 ribu undi diterima calon naib presiden. Namun kini beliau paling gah dan bising walaupun hanya dengan jawatan lantikan sebagai pengerusi PKR Kedah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Haniza berkata, ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh pula langsung tidak bertanding di peringkat cabang dan turut gagal merebut jawatan ketua Wanita PKR pusat namun dilantik sebagai pengerusi PKR Pahang.

“Syed Ibrahim Syed Noh yang juga pengerusi PKR Johor tewas di peringkat cabang dengan mendapat hanya 271 undi dan mendapat tempat ke 29 dalam merebut jawatan jawatan MPP,” katanya.

Bahkan kata beliau, pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador yang juga setiausaha politik Anwar Ibrahim pula menang hanya 266 undi di cabang Kuala Kangsar dan kalah teruk dalam persaingan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dengan berada di tangga ke-69.

“Mereka yang disebut adalah segelintir pimpinan lantikan yang mendesak pemimpin yang mendapat sokongan padu anggota akar umbi seperti Zuraida dipecat.

“Beliau adalah naib presiden yang dipilih anggota parti seluruh negara dan mendapat undi kedua tertinggi. Di peringkat cabang sudah memobilisasi ribuan anggota sewaktu pemilihan.

Haniza berkata, disebabkan itu mereka yang tewas dalam pemilihan parti pada 2018 perlu mencermin diri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan mengkritik Zuraida.

“Saya saran mereka sedar diri dan tidak campur tangan dalam pengurusan parti. Lembaga Disiplin sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada Zuraida dan langkah seterusnya akan difikirkan dan dilaksanakan mengikut pertimbangannya sendiri,” katanya.

Terdahulu, 9 ketua PKR negeri mendesak Lembaga Disiplin memecat Zuraida atas dakwaan menghina parti dan tidak menghadiri mesyuarat MPP.

Ketua PKR Kedah, Johari Abdul Ghani berkata, kehadiran dan kedudukan Zuraida dalam parti hanya mengeruhkan keadaan serta memberi imej negatif.

Selain Johari, 8 ketua negeri yang mendesak Zuraida dipecat ialah Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (Perak), Halim Bachik (Melaka), Syed Ibrahim Syed Noh (Johor), Azan Ismail (Terengganu), Fuziah Salleh (Pahang), Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan) dan Amran Kamarudin (Perlis).

Christina Liew (Sabah), Baru Bian (Sarawak) dan Amirudin Shari (Selangor) tidak menghadiri mesyuarat MPP hari ini.