PRK Kimanis: Lebih 50% keluar mengundi setakat tengah hari, SPR jangka keputusan 10 malam
Proses pengundian sehingga 5.00 petang ini melibatkan 29,619 daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi.
KIMANIS: Sebanyak 50.37% pengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 12 tengah hari ini, 4 jam setengah setelah kesemua 19 pusat mengundi dengan 68 saluran dibuka tepat pukul 7.30 pagi ini.
Proses pengundian yang akan berlangsung sehingga 5.00 petang ini, melibatkan 29,619 daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70% daripada jumlah itu akan mengundi hari ini.
Dua calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen itu, calon Warisan Karim Bujang dan Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin, masing-masing selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis dan SK Our Lady of Fatima (M) Kampung Kelatuan di sini, seawal 9.00 pagi.
Sejak awal pagi, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun meninjau perjalanan pilihan raya kecil itu di 3 pusat mengundi, di SK Belatik, Papar; SK Sumbiling; dan SK Viging Ulu di Bongawan.
Azhar ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat mengundi di SK Viging Ulu berkata, setakat ini proses pengundian PRK Parlimen Kimanis berjalan lancar tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.
Tinjauan mendapati cuaca yang baik sepanjang pagi ini menyaksikan ramai pengundi mengambil peluang menunaikan tanggungjawab masing-masing, namun jumlah itu berkurangan pada tengah hari berikutan cuaca panas mencecah sehingga 27 darjah celsius.
Pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK Parlimen Kimanis ialah di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.
SPR menjangkakan keputusan PRK itu dapat diumumkan sebelum 10 malam ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Karim, 67, dan Mohamad, 48 tahun.