PRK Kimanis: Semua pusat mengundi ditutup 5 petang, lebih 76% keluar mengundi

Proses mengundi PRK Kimanis selama lebih 9 jam hari ini melibatkan 29,619 orang daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi.

BEAUFORT: Kesemua 19 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis ditutup tepat pukul 5.00 petang ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pemilih berdaftar keluar mengundi setakat 4 petang ialah 76.14%.

Sejurus selepas pusat mengundi ditutup, kesemua peti undi daripada 68 saluran yang dibuka tepat pukul 7.30 pagi dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Hj Dun Banir di sini, untuk pengiraan undi dan keputusan dijangka diumum sebelum jam 10.00 malam.

PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan Karim Bujang dan Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional (BN).

Terdahulu seawal kira-kira 9 pagi, Karim mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis, manakala Mohamad di SK Our Lady Kampung Kelatuan.

Tinjauan mendapati suasana pengundian aman dan berjalan lancar dengan keadaan cuaca yang baik.

Parlimen Kimanis mempunyai 2 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Bongawan dan Membakut.

Proses mengundi berlangsung selama 9 jam setengah itu, melibatkan seramai 29,619 orang daripada 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi.

Parlimen Kimanis mempunyai 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi dan berdasarkan jumlah itu, 8 daripada 9 orang sudah mengundi awal pada Selasa lepas, manakala 35 adalah pengundi pos dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) yang berada di luar negara.

Daripada jumlah keseluruhan, 48% merangkumi pengundi Bumiputera Islam dan 25% Kadazan, manakala selebihnya kaum lain.

Daripada jumlah itu, 49.89% pengundi adalah lelaki dan 50.11% perempuan.

PRK Parlimen Kimanis merupakan PRK kesepuluh selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) pada 9 Mei 2018.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas menteri luar Anifah Aman bagi kerusi itu pada PRU 14.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah bagi kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.