Saingan sengit di Kimanis, BN dahului dengan majoriti 467 undi

Warisan berusaha merampas kerusi berkenaan yang merupakan kubu kuat BN dan dimenangi oleh bekas menteri pusat dan orang kuat Umno Anifah Aman sejak 2004.

BEAUFORT: Calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin mendahului calon Warisan Karim Bujang dalam pilihan raya kecil Kimanis hari ini.

Keputusan tidak rasmi pada jam 6.30 petang, menunjukkan BN mendapat 4,074 undi berbanding Warisan yang meraih 3,607 undi, dengan majoriti 467 undi.

Mohamad berdepan saingan satu lawan satu dengan Karim bagi merebut kerusi Parlimen Kimanis.

Warisan berusaha merampas kerusi berkenaan yang merupakan kubu kuat BN dan dimenangi oleh bekas menteri pusat dan orang kuat Umno Anifah Aman sejak 2004.

PRK Parlimen Kimanis merupakan PRK kesepuluh selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) pada 9 Mei 2018.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas menteri luar Anifah Aman bagi kerusi itu pada PRU 14.

Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah bagi kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Pada pilihan raya umum lepas, Anifah memenangi kerusi Kimanis dengan majoriti kecil 156 undi dalam persaingan 3 penjuru.

Beliau mendapat 11,942 undi berbanding Karim yang memperoleh 11,786 undi, sementara calon Parti Harapan Rakyat Sabah Jaafar Ismail meraih 1,300 undi.

Terdapat 29,644 pengundi di Kinamis, dengan majoritinya Bumiputera Islam (20,000 undi), diikuiti Bumiputera bukan-Islam (8,000) terutama komuniti Kadazandusun Murut dan 1,000 pengundi Cina.