Wanita maut, kereta dipandu teman lelaki rempuh rumah kedai

Seorang wanita maut apabila kereta dipandu teman lelakinya terbabas dan merempuh rumah kedai di Jalan Pokok Tambang, Pulau Pinang, malam tadi.

TASEK GELUGOR: Seorang wanita maut selepas kereta dipandu teman lelakinya terbabas sebelum merempuh sebuah rumah kedai di Jalan Pokok Tambang di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Noorzainy Mohd Noor berkata, nahas pada kira-kira pukul 11.55 tengah malam itu menyebabkan Norsyawallina Che Rus, 28, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Kemalangan berlaku apabila kenderaan yang dipandu teman lelaki wanita itu yang berumur 40 tahun dari arah Pongsu Seribu menghala ke Tasek Gelugor hilang kawalan, sebelum terbabas ke kanan jalan dan merempuh rumah kedai berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, rumah kedai itu didiami sebuah keluarga, namun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan kerana masing-masing berada di dalam bilik dan sedang tidur semasa kejadian.

Beliau berkata, pemandu kereta yang juga seorang nelayan hanya mengalami kecederaan ringan, manakala teman wanitanya yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.