2 lagi mayat pelajar politeknik lemas ditemui

Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu berkata, ketika ini usaha mencari dan mengesan mangsa terakhir, Mohamad Amir Izzudin dari Melaka sedang dipergiatkan. (Gambar Bernama)

DUNGUN: Tiga daripada 4 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang hilang dihanyutkan ombak ketika mandi manda di Pantai Teluk Bidara di sini Jumaat lepas, ditemui mati lemas setakat tengah hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Sharikan Bustaman berkata, mayat Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan daripada Kuala Terengganu ditemui pada 11.35 pagi oleh sekumpulan nelayan di Teluk Lipat, kira-kira 8 km dari lokasi kejadian.

Mayat Muhamad Luqman Al Rashid Mohamed dari Kuantan, Pahang pula ditemui terapung pada 12.09 tengah hari oleh pasukan penyelamat, kira-kira 1 km daripada mayat Muhammad Ikhwan katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata, mayat Muhammad Zul Fahmi Zuki dari Kemaman ditemui orang awam dalam keadaan terdampar di pesisir pantai berdekatan Mayang Sari Resort, di sini pada kira-kira 7.30 pagi ini.

Dalam kejadian 6.30 petang Jumaat lepas, Muhamad Luqman Hakim Al Rashid; Muhammad Zul Fahmi; Muhammad Ikhwan; dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, kesemuanya berumur 21 tahun, dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir sebelum dipercayai ditarik ombak.

Sharikan berkata, ketiga-tiga mayat dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, ketika ini usaha mencari dan mengesan Mohamad Amir Izzudin dari Melaka sedang dipergiatkan.