Antiviral boleh ganti vaksin influenza?

Virus influenza masih berterusan dan bimbangkan ibu bapa.

Malah keadaan menjadi lebih teruk apabila stok vaksin influenza habis dan harganya naik mendadak.

Apakah yang perlu anda lakukan?

Menurut Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah, anda boleh mendapatkan vaksin tersebut di klinik swasta.

Namun terpulang kepada ibu bapa, sekiranya mereka mampu, adalah lebih baik mengambil vaksin tersebut sebagai langkah pencegahan kepada kanak-kanak.

Begitu juga kepada golongan awam, mereka juga boleh mendapatkan vaksin influenza daripada klinik yang bertauliah.

Disebabkan itulah polisi pengedaran seharusnya memberikan prioriti kepada klinik swasta berbanding hospital swasta. Ini kerana kebiasaannya klinik swasta terletak berdekatan dengan penduduk berbanding dengan hospital swasta yang sukar diakses.

Jika anda mempunyai simptom jangkitan influenza, kebiasaannya ia akan sembuh tanpa preskripsi ubat.

Namun bagi mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi daripada jangkitan tersebut, terapi antiviral boleh diberikan.

Jika simptom anda menjadi semakin teruk, doktor mungkin akan mempreskripsikan ubat antiviral bagi mengurangkan risiko anda mendapat komplikasi berkaitan.

Rawatan antiviral tersebut seharusnya dimulakan dalam masa 48 jam apabila anda mula mengalami simptom.

Namun, ubat antiviral seperti Oseltamivir bukan pengganti kepada vaksin influenza. Jika anda telah sembuh daripada jangkitan tersebut, tidak bermakna anda tidak akan mendapat jangkitan itu kelak.

Oleh itu, lebih baik dapatkan vaksin influenza sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Fokus perlu diberi kepada kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah dan orang tua berusia 65 tahun ke atas kerana mereka cenderung mendapat jangkitan ini.

Antara golongan lain yang berisiko tinggi adalah wanita hamil atau baru lepas melahirkan anak, mempunyai masalah kronik seperti kencing manis, sakit jantung, asma dan jangkitan HIV serta tinggal di fasiliti perubatan seperti rumah penjagaan orang tua.

Mereka yang termasuk dalam golongan ini digalakkan mengambil vaksin influenza dan jika mereka dijangkiti, rawatan terapi antiviral, Oseltamivir, boleh diambil untuk mengelakkan komplikasi.

Bagi mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang kuat, terapi antiviral kebiasaannya tidak diberikan.

Mereka boleh pulih dan kembali bekerja dalam tempoh seminggu dengan rawatan konservatif, antaranya minum air secukupnya.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]