Dakwaan ‘orang Maszlee’ kuasai jawatan jadi perhatian ketika Dr M ambil alih KPM

Dr Mahathir Mohamad mendengar taklimat daripada pegawai Kementerian Pendidikan pada 16 Jan, seminggu selepas beliau diumumkan sebagai pemangku menggantikan Maszlee Malik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Antara tugas pertama Dr Mahathir Mohamad apabila mengambil alih portfolio pendidikan daripada Maszlee Malik ialah menyemak semula jawatan utama di agensi pendidikan kerajaan dan institut pendidikan tinggi negara, kata sumber dalaman kementerian kepada FMT.

Ini berikutan kritikan bahawa ia diisi individu yang sealiran dengan pertubuhan Islam tertentu yang bekas menteri pendidikan itu pernah aktif.

FMT difahamkan ada kebimbangan berhubung pelantikan yang dibuat Maszlee, terutama sama ada lantikan tersebut benar-benar layak untuk jawatan terbabit.

Ini termasuklah jawatan naib canselor, yang merupakan ketua de facto di beberapa universiti awam, selain ketua agensi pendidikan dan pegawai kementerian.

Ada juga kebimbangan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), badan kerajaan yang bertanggungjawab ke atas akreditasi program akademik di pusat pengajian tinggi, juga diketuai individu yang rapat dengan Maszlee.

Ini berikutan tempoh jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya Rahmah Mohamed tamat sehari sebelum Maszlee meletak jawatan dan tiada pengganti dinamakan.

“Oleh sebab Maszlee sudah letak jawatan, mungkin MQA akan terlepas daripada penempatan ‘orang Maszlee’ sebagai ketuanya, tetapi bukan begitu keadaannya dengan banyak jawatan utama akademik lain,” kata sumber.

Katanya, terdapat kebenaran berhubung dakwaan universiti dan agensi pendidikan diisi dengan individu “yang berkongsi inkubator politik-agama yang sama” dengan Maszlee.

Sumber merujuk kepada Pertubuhan Ikram Malaysia, sebuah pertubuhan Islam dengan jaringan di seluruh Malaysia, yang pandangan agamanya menyerupai Ikhwanul Muslimin, gerakan Islam di negara Arab yang dilihat sebagai serpihan gerakan Salafi yang lebih progresif.

Salafisme merupakan nama lunak bagi Wahhabisme, doktrin yang melahirkan undang-undang keras dan menekan di Arab Saudi.

“Terdapat cakap-cakap tentang bagaimana Maszlee mengetuainya. Terdapat laporan beliau menempatkan Islamis di kedudukan penting, tetapi ini tidak begitu tepat,” kata sumber kepada FMT.

Bagaimanapun katanya, tidak semua individu yang dilantik Maszlee, sesetengahnya dikenali beliau secara peribadi, boleh dikelompokkan sebagai Islamis, “apatah lagi Salafi”.

Maszlee meletak jawatan sebagai menteri pendidikan pada 2 Jan, sewaktu sesi persekolahan di seluruh negara baru bermula.

Katanya, beliau diminta Mahathir supaya mengosongkan jawatan tersebut berikutan kritikan terhadap pencapaiannya.

Kabinet kemudiannya bersetuju melantik perdana menteri sebagai pengganti sementara portfolio itu.

Ada cakap-cakap berhubung pilihan Maszlee bagi jawatan naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Malaysia Sabah, selain jawatan kanan di jabatan pendidikan tinggi dan agensi pembangunan bahasa kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan.

Bagaimanapun pelantikan yang paling dipersoalkan ialah bagi jawatan naib canselor di universiti awam.

“Pelantikan ini biasanya dibuat melalui Jawatankuasa Lantikan Naib Canselor Universiti Awam yang mencari calon paling berkelayakan untuk dicadangkan kepada menteri pendidikan,” kata sumber kepada FMT.

“Apa yang berlaku ialah individu yang sepatutnya mencari calon sesuai diberikan nama oleh individu berpengaruh dalam jawatankuasa itu dan terdapat juga dakwaan sesetengah nama ini tidak layak.”

Satu artikel yang diterbitkan di laman web Ikram menolak dakwaan tersebut, mengatakan naib canselor dilantik berdasaran merit dan ini berbeza dengan amalan lama bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Selepas maklum balas daripada akademia dan satu sesi ‘town hall’ pada pertengahan Julai 2018, satu proses dan sistem pemilihan baru diperkenalkan,” tulis Dr Musa Nordin, penyokong utama Maszlee, yang sama-sama aktif dalam Forum Profesional Islam (MPF).

Baru-baru ini MPF terpaksa menjawab dakwaan suatu persidangan satu hari yang dianjurkannya bersama sebuah badan yang dipengerusikan oleh Anwar Ibrahim bertujuan menonjolkan kelayakan Islam presiden PKR itu selepas diketepikan dalam sidang berprofil tinggi, iaitu Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada Disember lepas.

Musa berkata, Jawatankuasa Lantikan Naib Canselor membuat cadangan berdasarkan “kecemerlangan akademik, kesarjanaan terpuji dan kepimpinan intelek.”

Beliau membidas pengkritik Maszlee sebagai “orang-orang yang bersifat keji” yang menyasarkan habuan besar daripada belanjawan kerajaan yang diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan ada ‘lombong emas’, setepatnya RM64.1 bilion, yang di bawah kepimpinan Maszlee, penyangak dan kroni itu tidak akan dapat satu sen pun.”

Musa bagaimanapun akui 1/5 daripada individu yang dilantik oleh Maszlee, iaitu 6 kesemuanya, merupakan ahli Ikram yang berdaftar.

“Ini sahaja sudah membimbangkan. Enam individu yang merupakan ahli berdaftar sebuah pertubuhan yang sama bukanlah satu kebetulan,” kata sumber kepada FMT.