PSS antara punca Warisan tewas di Kimanis, kata Wan Azizah

Wan Azizah Wan Ismail memberi limau mandarin kepada pengunjung ketika melawat Pasar Pagi Taman Muda hari ini.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) pada Jun ini antara faktor Warisan kalah dalam Pilihan Raya Kecil Kimanis semalam.

Katanya, wujud persepsi salah berkaitan isu itu kerana Barisan Nasional (BN) menyalahkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam pelaksanaan PSS.

“Adalah analisa-analisanya (faktor kekalahan), tetapi yang penting untuk kita melihat sendiri apa yang kita perlu perbaiki.

“Memang ada cakap pasal PSS, itu kita bincang juga, tetapi BN sekarang mengatakan itu kesalahan kita, sebenarnya tidak,” katanya sewaktu ditemui di Pasar Pagi Taman Muda hari ini.

Pada 7 Sept lalu, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin mengumumkan Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing bersetuju mengeluarkan PPS kepada 136,055 warga asing di Sabah yang merupakan pemegang IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung, mulai 1 Jun 2020.

Tiga dokumen itu kebanyakannya dikeluarkan kepada warganegara Filipina, iaitu IMM13 kepada warga asing berstatus pelarian, sijil banci ketika program pemutihan Pasukan Petugas Khas Persekutuan dan kad burung-burung yang dikeluarkan pada 1970 hingga 1990-an.

Katanya, PSS diharap dapat menyelesaikan isu kepelbagaian dokumen serta memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan pergerakan warga asing oleh pihak berkuasa.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan ketika berkempen untuk PRK Kimanis berkata, pelaksanaan PSS akan menimbulkan malapetaka kerana pendatang asing diberikan kerakyatan dan bilangan mereka melebihi penduduk tempatan.

Semalam, calon BN, Mohamad Alamin menang dengan majoriti 2,029 undi mengalahkan Karim Bujang daripada Warisan yang mendapat 10,677 undi.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali yakin Sabah yang diterajui Warisan selama 20 bulan sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, namun parti itu memerlukan lebih banyak masa untuk mendapat kepercayaan mereka.

“Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sudah melakukan terbaik dalam tempoh 20 bulan lalu, namun isu legasi terlalu besar, mereka perlukan masa meyakinkan rakyat Sabah bahawa masa depan Sabah dan rakyatnya pada kerajaan Warisan.”

Katanya, beliau melihat sokongan rakyat di Kimanis tidak banyak berubah berbanding jumlah undi yang diperoleh calon Warisan pada pilihan raya umum 2 tahun lalu.

“Jadi, tidak timbul soal kemerosotan undi. Namun, kerana ini adalah kawasan di luar bandar, kita perlukan masa untuk meyakinkan mereka bahawa usaha-usaha dijalankan ini adalah untuk merapatkan jurang bandar dan luar bandar.

“Usaha ini akan diteruskan lagi kerajaan pimpinan Warisan dengan kerjasama baik kerajaan persekutuan.”