Malaysia sedia laksana teknologi 5G secara komersial pada suku ketiga 2020, kata PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melancarkan Projek Demonstrasi 5G di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi malam ini. (Gambar Bernama)

LANGKAWI: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia sudah bersedia untuk melaksanakan kemudahan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) secara komersial pada suku ketiga tahun ini.

Melancarkan Projek Demonstrasi 5G Malaysia di sini, malam ini, beliau berkata, ini menandakan satu permulaan yang penting dalam perjalanan negara ke arah memperkukuhkan ekonomi bagi mencapai pertumbuhan yang mampan dan perkongsian kemakmuran dengan rakyat.

“(Ini juga) akan memastikan kita mencapai matlamat untuk menyediakan setiap warganegara dengan taraf kehidupan yang wajar menjelang 2030,” kata Mahathir.

Beliau berkata, persediaan untuk melaksanakan teknologi 5G sedang berkembang dengan baik sejak beliau melancarkan Pameran 5G Malaysia di Putrajaya pada Apr tahun lalu.

Mahathir berkata, dari segi ekonomi, teknologi 5G boleh bertindak sebagai infrastruktur untuk pertumbuhan inovatif.

”Penumpuan 5G dan pelbagai sektor industri seperti pertanian, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembuatan, pengangkutan pintar dan pelancongan menyediakan peluang baru bagi industri, masyarakat dan individu untuk memajukan cita-cita digital masing-masing serta memberikan perkhidmatan baru dan lebih baik,” katanya.

Perdana menteri menegaskan bahawa teknologi akan terus mengubah kaedah orang melakukan sesuatu perkara.

“ Kita berdepan dengan risiko ketinggalan jika kita tidak berubah. Sebaliknya, mereka menawarkan cabaran baru dan menarik serta peluang yang tidak dapat diukur sekiranya kita mampu mendampinginya,” katanya.

Malaysia katanya, perlu pintar dan seandainya kekal tidak berubah, negara tidak akan mampu bersaing dalam ekonomi global.

Mahathir berkata Malaysia, yang dikurniakan dengan kekayaan sumber dan prospek, bersedia untuk memulakan era pertumbuhan baru.

“Walaupun ini dalam lingkungan kita, kita berada di titik hujung, sama ada kita boleh bangkit atau terkapai-kapai,” katanya kepada hadiran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi.

Perdana menteri berkata, kesalinghubungan ekonomi mungkin tidak menjadikan Malaysia kebal terhadap ekonomi global.

“(Tetapi) itulah sebab kita terus berusaha secara individu dan kolektif setiap hari untuk mengalahkan dan melepasi sempadan yang membolehkan kita kekal berdaya saing dan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan,” katanya.

Beliau juga menyentuh keperluan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara dengan melengkapkan diri dengan kemahiran masa depan dan terus bekerjasama dengan semangat baru bagi menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (IRA 4.0).

“Kesediaan organisasi untuk membuka pintu kepada orang lain serta berkongsi amalan terbaik akan mempercepatkan penerimaan Revolusi Perindustrian Keempat dan membuka kepada manfaat yang boleh dicipta oleh pengeluar,” kata Mahathir.

Beliau berkata, semangat kerjasama juga boleh menjangkau batasan sektor swasta dengan menyentuh konsep Malaysia Incorporated yang diperkenalkan oleh beliau selepas menjadi perdana menteri buat kali pertama pada 1981.

Inisiatif tersebut melibatkan kerjasama sektor awam dan swasta sebagai objektif bersama dalam membangunkan Malaysia.

”Oleh itu, saya yakin konsep ini masih boleh bertahan sehingga ke hari ini dan ia lebih penting daripada sebelum ini untuk kedua-dua sektor itu bekerjsama dalam mencapai matlamat dan cita-cita besar negara,” katanya.

Hasil kerjasama itu katanya, 100 kes pengunaan 5G dikenal pasti menerusi projek demonstrasi 5G dengan 72 penggunaan dilaksanakan di 56 tapak 5G secara langsung merentasi Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor, Terengganu dan Pulau Pinang.

Mahathir turut memuji usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam menyediakan blok bangunan yang diperlu bagi pelaksanaan teknologi 5G di negara ini.

Ia merupakan komponen penting bagi negara ini kerana teknologi 5G mempunyai kuasa untuk mempromosikan pelbagai perkhidmatan baharu, meningkatkan kecekapan pembuatan dan memacau inovasi, katanya.

Turut hadir isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak.