Mayat 1 pelajar dihanyut ombak ditemui, 3 masih hilang

Mayat yang dipercayai Muhammad Zul Fahmi Zuki ditemui terdampar 8km dari lokasi mangsa bermandi-manda di Pantai Teluk Bidara, Dungun dengan 3 rakannya yang masih hilang pada Jumaat lalu. (Gambar Bernama)

DUNGUN: Seorang daripada 4 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang hilang dihanyutkan ombak ketika bermandi di Pantai Teluk Bidara, di sini Jumaat lepas, ditemui lemas kira-kira 7.30 pagi tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, mayat yang dipercayai Muhammad Zul Fahmi Zuki itu ditemui orang awam dalam keadaan terdampar di pesisir pantai dekat Resort Mayang Sari di sini.

“Mayat itu ditemui pada jarak 8km dari lokasi mangsa bermandi-manda bersama rakan-rakannya. Mayat tersebut telah dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk proses pengecaman oleh keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, pihaknya giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat 3 lagi pelajar yang masih hilang di lokasi sama mangsa ditemui lemas sehingga ke kawasan Kuala Dungun dan Pantai Teluk Gadung.

Dalam kejadian 6.30 petang Jumaat lepas, Zul Fahmi bersama Muhamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, semuanya berumur 21 tahun, dikatakan bermandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.