Mohamad Alamin kunjung pasar tamu ucap terima kasih kepada pengundi

Ahli Parlimen Kimanis yang baru dipilih Mohamad Alamin dikelilingi penyokong ketika mengunjungi pasar tamu di Membakut.

KIMANIS: Ahli Parlimen Kimanis yang baru dipilih Mohamad Alamin mengunjungi pasar tamu di Membakut dan Bongawan hari ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi.

Kelihatan segar selepas cukup berehat, pemimpin Umno Sabah itu berswafoto dengan penyokong parti sewaktu beliau mengunjungi gerai demi gerai dan mengucapkan terima kasih kerana memberikan peluang kepadanya untuk mewakili masyarakat setempat di Parlimen.

Beliau sebelum ini aktif membuat kunjungan rumah ke rumah dan berceramah pendek di seluruh Kimanis sepanjang 2 minggu tempoh berkempen

Beliau juga dilihat berjalan terhinjut-hinjut walaupun berusaha menyembunyikannya. Mohamad menafikan “sakit lamanya berbalik semula” dan disebabkan terlalu banyak berjalan.

Pembantu rapat ahli Parlimen itu berkata, Mohamad pernah cedera semasa bermain bola sepak beberapa tahun lepas menyebabkan beliau sukar berjalan.

“Hari ini, saya hanya mahu bertemu penduduk Kimanis dan mengucapkan terima kasih kepada mereka. Saya juga mahu meminta maaf sekiranya telah melukakan hati mereka dengan apa-apa juga cara,” katanya ketika ditemui di Membakut di sini.

Ahli politik berusia 48 tahun itu menang pilihan raya kecil semalam mengalahkan calon Warisan Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi.

Mohamad, yang merupakan Adun Bongawan selama 1 penggal, dijangka mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada Mac ini.

Beliau dan ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin merupakan 2 wakil Umno Sabah di Parlimen.

Mohamad menggantikan bekas tokoh Umno dan ahli Parlimen Kimanis selama 4 penggal Anifah Aman, yang kemenangannya pada pilihan umum Mei 2018 dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan susulan wujudnya luar aturan dalam proses pilihan raya ketika itu.

Beliau merupakan pilihan utama Umno untuk mewakili Barisan Nasional (BN) setelah kerusi tersebut diisytiharkan kosong pada Dis tahun lepas.

Mohamad berkata, pengalamannya sebagai Adun boleh membantu tugasnya sebagai ahli Parlimen.

“Saya akan membangkitkan isu berkaitan Kimanis dan Sabah di Parlimen. Saya juga akan bercakap tentang isu nasional yang berkait kepentingan Malaysia,” katanya.

Katanya, beliau dan pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar mempunyai perwatakan berbeza.

“Dia ada stail sendiri dan begitu juga saya. Bagaimanapun kami mempunyai matlamat dan agenda yang sama,” katanya.

Mohamad berkata, beliau juga akan membantah pelaksanaan Pas sementara Sabah (PSS) pada Jun dengan menambah bahawa pengundi telah menyuarakan penolakan mereka terhadap rancangan itu melalui peti undi.

“Saya fikir langkah terbaik yang perlu diambil oleh kerajaan negeri ia menghentikan rancangan untuk melaksanakan PSS bagi menghilangkan kebimbangan rakyat Sabah,” katanya.