Papagomo dikepung di KKIA selepas koyak gambar Shafie

Papagomo (berjambang) dihalang sewaktu kekecohan di lapangan terbang Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Anggota Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris yang juga dikenali dengan panggilan Papagomo didakwa dikepung sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Terdahulu Papagomo mencetuskan kemarahan rakyat Sabah selepas beliau mengoyakkan gambar Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dalam satu demonstrasi jalanan di Kimanis 2 hari lepas.

Papagomo berada di Sabah bagi membantu calon Umno dan Barisan Nasional (BN) Mohamad Alamin dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

Menurut jurugambar FMT Mohamed Rabbani Jamian yang berada di tempat kejadian, kira-kira 20 lelaki menghampiri Papagomo dan beberapa pengikut beliau yang memakai seragam biru BN sebelum berlakunya pertengkaran antara mereka.

“Lelaki terbabit berpakaian biasa. Papagomo bersama kira-kira 10 kawannya ketika itu berada di kaunter masuk Malindo Air.

“Kedua-dua kumpulan itu saling mengeluarkan kata-kata kesat dan seorang dilihat menunjuk ke arah Papagomo dan memanggilnya ‘anjing kurap’,” katanya.

Foto yang diperolehi oleh FMT menunjukkan Papagomo mengoyakkan gambar presiden Warisan Shafie Apdal.

Papagomo juga dilihat cuba melawan balas, tetapi dihalang oleh mereka yang berhampiran.

Polis dilihat bergegas ke tempat kejadian sewaktu Papagomo ditarik ke pintu pelepasan jauh dari tempat kekecohan.

“Mereka menyanyikan lagu ‘Terima Kasih Sabah’ selepas melepasi pintu pelepasan,” katanya.