Skim keselamatan sosial untuk 300,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura

Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran.

JOHOR BAHRU: Kementerian Sumber Manusia berhasrat memperkenalkan skim perlindungan keselamatan sosial kepada kira-kira 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura bagi melindungi kebajikan mereka.

Menterinya M Kula Segaran berkata, buat masa ini pihaknya sedang menunggu hasil kajian melindungi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), yang dijangka siap pada Apr atau Mei ini sebelum memperkenalkan skim terbabit.

“Kajian untuk melindungi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura ini bertujuan untuk mendapatkan pro dan kontra skim itu, kebaikan dan risiko yang dihadapi mereka.

“Selepas itu, kita (Kementerian Sumber Manusia) tengok apa yang kita boleh buat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Perkeso 2020 di sini, petang ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Amir Omar dan Ketua Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Kula berkata, sebelum ini terdapat satu kajian dilakukan berhubung mengapa rakyat Malaysia cenderung bekerja di Singapura dan hasilnya mendapati bahawa gaji lumayan merupakan faktor utama mereka di republik itu.

Bagaimanapun beliau berkata, minat rakyat Malaysia untuk bekerja di luar negara bukan perkara baru, sebaliknya terdapat kira-kira sejuta rakyat negara ini bekerja di seluruh dunia.

Beliau dalam pada itu memberitahu, seramai 45,923 Orang Bekerja Sendiri (OBS) direkodkan sudah mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sejak 1 Jun 2017 sehingga semalam.

“Sewaktu SKSPS diperkenalkan pada 1 Jun 2017, ia dikuatkuasakan ke atas sektor pengangkutan penumpang sebagai permulaan, iaitu pemandu teksi dan e-panggilan dan kemudiannya pemandu bas. Kini, SKSPS meliputi OBS di 20 sektor tidak formal.

“Walaupun secara relatifnya peratusan yang mencarum SKSPS terlalu kecil jika dibandingkan dengan 2.8 juta OBS yang layak, namun trend pendaftaran dan caruman kian meningkat saban hari,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan Kula turut menyampaikan sumbangan ang pau dan hamper kepada 14 anak yatim, 13 ibu tunggal serta 9 penerima Faedah Hilang Upaya Kekal.