Tanggungjawab KKM keluar kenyataan mengenai influenza, kata Dzulkefly

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, KKM bertanggungjawab ke atas hal ehwal kesihatan dan tidak menafikan mana-mana pihak untuk bersama-sama mengawal wabak influenza.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertanggungjawab menyelaras data dan mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan terkini wabak influenza di negara ini, kata menterinya Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah akan menyelaras semua data berkaitan influenza yang diterima daripada Exco kesihatan negeri, jabatan kesihatan negeri dan pegawai kesihatan di daerah sebelum kenyataan dikeluarkan.

“Kami (Kementerian Kesihatan) bertanggungjawab dalam hal ehwal kesihatan. Kementerian Kesihatan tidak menafikan mana-mana pihak untuk bersama-sama dalam kolaborasi mengawal wabak influenza.

“Namun kenyataan di pelbagai peringkat boleh mencetuskan kekeliruan dan panik dalam kalangan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Larian Antibiotik 2020 di Taman Eskpo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini, hari ini.

Dzulkefly berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Dr Alias Razak yang dilaporkan menzahirkan rasa kecewa dengan arahan KKM supaya pihak kerajaan negeri tidak mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan terkini kes influenza di negeri itu.

Dalam pada itu, semasa ditanya berhubung kes influenza yang mudah merebak di sekolah, Dzulkefly berkata, selain ubat anti-viral dan vaksin, tahap kebersihan perlu ditingkatkan bagi membendung wabak itu.

“Aspek kebersihan perlu diberi perhatian, terutamanya ketika mencuci tangan,” katanya.

Dzulkefly berkata, KKM akan mengeluarkan kenyataan berhubung langkah yang perlu diambil orang ramai bagi menjaga kesihatan terutama semasa dalam perjalanan untuk bercuti bersempena sambutan Tahun Baru Cina minggu depan.

Berhubung harga vaksin influenza yang dikatakan naik, Dzulkefly berkata, ia adalah dalam julat RM35 sehingga RM100 dan KKM tidak mengawal harga vaksin berkenaan.

“Saya mohon kepada penyedia penjagaan kesihatan (swasta) untuk memastikan (harga vaksin) adalah munasabah. Jangan terlebih caj,” katanya.

Ketika ditanya tentang laporan bahawa 2 doktor yang bertugas di Hospital Sibu tidak diperbaharui kontrak perkhidmatan tanpa penjelasan daripada KKM, Dzulkefly berkata, perkara itu akan disiasat secara terperinci.

“Amat malang perkara ini berlaku. Saya akan segera menyiasat perkara ini untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Lebih-lebih lagi kita memerlukan khidmat pegawai perubatan yang berbakat dan berwibawa,” katanya.