Tiada guna menang jawatan parti, tapi kalah pilihan raya, kata pemimpin PPBM

Marzuki Yahya berkata, agak sukar untuk kepimpinan PPBM memperbaiki keretakan jika berlaku perpecahan akibat tindakan mengejar jawatan dan pangkat dalam pemilihan parti pada Jun ini.

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PPBM, Marzuki Yahya mengingatkan mereka yang ingin bertanding dalam pemilihan parti pada Jun ini berpegang kepada prinsip perjuangan demi agama, bangsa dan negara, bukannya mengejar jawatan serta peluang bergelar calon pilihan raya.

Katanya, tiada tempat untuk mana-mana individu yang berhasrat bertanding dalam pemilihan parti semata-mata demi kepentingan diri.

“Penubuhan PPBM bukan kerana jawatan dalam parti atau kepentingan individu. Tidak ada guna ada perebutan sewaktu pemilihan ini bagi pelbagai jawatan, tetapi parti ini tidak dihormati dan kalah dalam pilihan raya.

“Dalam prinsip kekeluargaan, keharmonian itu penting, bukan saling berpecah belah, menjatuhkan satu sama lain kerana jawatan dan pangkat. Ia tidak kekal, tapi yang akan kekal adalah kesejahteraan dan kemakmuran negara jika kita bersatu padu,” katanya kepada Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

PPBM akan mengadakan perhimpunan agung 4 hari bermula 25 Jun ini, dan turut akan menjalankan pemilihan buat pertama kali sebelum perhimpunan itu.

Pencalonan bagi pemilihan parti akan bermula 26 Jan ini, disusuli mesyuarat peringkat cawangan mulai 15 Feb sehingga 29 Mac, manakala mesyuarat di peringkat bahagian pada 18 April.

Sebanyak 189 bahagian layak bersidang, manakala jumlah ahli yang layak menyertai persidangan ialah 363,167 orang.

Pemilihan barisan jawatankuasa peringkat cawangan dan bahagian, termasuk sayap Wanita dan Pemuda akan diadakan dalam mesyuarat cawangan.

Persidangan bahagian pula akan memilih Majlis Pimpinan Tertinggi, iaitu barisan kepemimpinan parti peringkat pusat.

Persidangan Wanita dan Pemuda Bahagian pula perlu diadakan sebelum persidangan bahagian dan ia akan memilih Jawatankuasa Wanita dan Pemuda peringkat pusat.

Marzuki yang juga timbalan menteri luar berkata, disebabkan parti itu yang masih muda dan baru, agak sukar untuk kepimpinan membaiki keretakan jika berlaku perpecahan disebabkan tindakan mengejar jawatan dan pangkat dalam pemilihan.

Katanya, setiap ahli perlu menggunakan pemilihan itu untuk memilih kepimpinan terbaik dalam usaha membantu kedudukan parti untuk terus menjadi “pendinding” kerajaan sewaktu diuji, dihentam dan diserang kritikan serta kecaman pelbagai pihak.

Beliau berkata, rakyat akan menilai sejauh mana PPBM, ahli dan kepimpinannya mampu bertahan dalam kedudukan sedia ada dan terus memperjuangkan nasib mereka khasnya dalam membantu merapatkan jurang serta meningkatkan ekonomi negara.

“Orang yang pertikai cara kerja kita ini akan sentiasa ada. Kita seharusnya menggunakan peluang yang ada untuk memperbaiki negara bersama (Perdana Menteri) Dr Mahathir (Mohamad).

“Kita perlu ada legasi yang baik untuk ditinggalkan kepada anak muda, pewaris negara dengan memperbaiki kelemahan yang ada, mengelakkan perpecahan kaum, tidak bermain sentimen atau perkara sensitif hingga merosakkan negara.”

Marzuki turut menepis khabar angin PPBM akan terkubur tanpa kehadiran Mahathir suatu hari nanti kerana pemimpin datang dan pergi, tetapi yang kekal ialah asas perjuangan parti yang perlu disemai dan ditanam dalam setiap ahli, termasuk yang tidak berjawatan.

“Sudah pastinya patah tumbuh hilang berganti. Apa yang diserapkan Tun kepada kami selama ini adalah semangat perjuangan dan setiap kehendak mahupun kepentingan diri diletakkan di tepi, kepentingan negara pula kita angkat.”

PPBM yang ditubuhkan pada 24 Jun 2016, kini mempunyai 377,057 ahli daripada 2,946 cawangan di seluruh negara.