150 kontena sisa plastik dihantar balik, 110 lagi bakal menyusul

Menteri Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin memeriksa kontena mengandungi sisa plastik di Terminal Kontena Butterworth Utara di Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH: Malaysia berjaya menghantar balik 150 kontena sisa plastik tidak dikehendaki ke negara asal mereka, dengan Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat mendahului senarai.

Menteri Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata, ia adalah perkembangan “luar jangkaan” kerana kerajaan tidak mengeluarkan satu sen pun, sebalik kosnya ditanggung pengimport dan syarikat perkapalan.

“Ia bukan tentang wang, tetapi maruah. Kita tidak sepatutnya membayar kos penghantaran balik. Kita tidak mahu bayar walau satu sen pun. Kita bukan tempat buangan sampah dunia,” katanya kepada pemberita di pelabuhan Butterworth hari ini.

Yeo berkata, 150 kontena tersebut yang dirampas di Pelabuhan Klang dan pelabuhan di Pulau Pinang dan Sarawak mengandungi sejumlah 3,737 tan matrik sisa.

Negara asalnya termasuklah Kanada, Sepanyol, Hong Kong, Jepun, Singapura, Portugal, China, Bangladesh, Sri Lanka dan Lithuania.

Beliau berkata, 110 kontena lagi, termasuk 50 dari AS, 15 Kanada dan 14 dari Jepun masih menunggu untuk dihantar balik. Kontena lain berasal dari UK, Belgium, Mexico, Hungary, Peranchis dan Jamaica.

Katanya kerajaan berhubung rapat dengan agensi AS bagi membantu proses penghantaran balik kontena terbabit.

Malaysia dan negara Asia Tenggara lain kini menjadi hab kitar semula sisa plastik selepas China memutuskan untuk menghentikan import plastik.

Selepas satu tapak pembuangan plastik yang besar ditemui di Selangor 2 tahun lalu, pengimport beralih ke utara dengan Kedah menjadi pilihan utama kepada kilang kitar semula haram.

Kilang haram ini dilaporkan melepaskan asap toksik, terutama di Sungai Petani, tetapi pihak berkuasa di situ menafikan udaranya tercemar.

Kilang haram akan terus ditutup

Yeo berkata, apabila China mengharamkan import sisa plastik pada 2018, banyak negara tidak tahu bagaimana untuk menangani masalah penghantaran kontena tersebut ke tempat lain.

Katanya, berikutan itu Malaysia telah menggubal satu pelan komprehensif bagi memperkuat penguatkuasaan melalui satu pasukan petugas khas melibatkan agensi berkaitan.

Beliau berkata, langkah itu menyebabkan import sisa plastik menurun di seluruh negara walaupun ia belum “dihapuskan” sama sekali.

Yeo berkata, langkah penting ke arah menghentikan import plastik tidak dikehendaki ialah menyekatnya pada sumbernya, iaitu pelabuhan masuk.

Pada masa sama katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus mengambil tindakan ke atas kilang haram.

“Kita akan terus menutupnya (kilang haram) berulang-ulang kali. Mari kita lihat siapakah yang lebih cekal,” katanya.

Yeo juga berkata, Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik akan dilancarkan bulan depan sebagai panduan kepada agensi penguatkuasaan.