Jepun catat kes bunuh diri lebih rendah tahun lepas

Tahun lepas, bilangan kes bunuh diri terbanyak di Jepun dicatatkan di Tokyo, iaitu sebanyak 2,107 kes, diikuti Osaka 1,191 kes. (Gambar Fail)

TOKYO: Kadar kes bunuh diri di Jepun berkurangan berbanding tahun sebelumnya kepada rekod yang rendah pada 2019, menandakan penurunan tahun kesepuluh berturut-turut, menurut Agensi Polis Negara (NPA) pada Jumaat.

Agensi berita Xinhua melaporkan, menurut agensi itu, bilangan kes bunuh diri menurun 4.2% pada 2019 berbanding tahun sebelumnya, kepada 19,959 kes, dengan angka susut di bawah paras 20,000 buat pertama kali sejak data mengenai kes ini dikumpul.

Statistik menunjukkan kadar wanita membunuh diri mencatatkan rekod terendah dalam tempoh pengumpulan data dibuat, iaitu pada 6,022 kes, kurang 528 kes berbanding tahun sebelumnya, manakala kes membabitkan lelaki, turun sebanyak 353 kes, kepada 13,937.

Bilangan kes terbanyak dicatatkan di Tokyo iaitu 2,107, diikuti Osaka 1,191 kes.