Mesyuarat 2 hala dengan India tidak tercapai kerana jadual padat, kata MITI

Menurut MITI, berikutan tiadanya mesyuarat rasmi, pihak berminat biasanya akan bertemu secara tidak rasmi dan bertukar pandangan di luar acara Forum Ekonomi Dunia Davos di Switzerland pada 21 hingga 24 Jan. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini mendedahkan bahawa mesyuarat 2 hala yng dicadangkan oleh India dan disasar diadakan minggu ini, tidak tercapai kerana kedua-dua pihak mempunyai jadual yang padat.

Kementerian Kereta Api, Perdagangan & Industri India menerusi permintaan rasmi pada 24 Dis lepas mencadangkan mesyuarat 2 hala antara kedua-dua menteri di luar Forum Ekonomi Dunia Davos, Switzerland yang berlangsung dari 21 hingga 24 Jan.

MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia dan kementerian tersebut saling berhubung bagi kemungkinan mengadakan mesyuarat 2 hala untuk membincangkan isu perdagangan dan pelaburan 2 hala dan serantau.

“Kedua-dua negara itu sama sekali tidak menolak untuk bertemu antara satu sama lain. Demi semangat perkongsian ekonomi antara kedua-dua negara, Malaysia berusaha untuk memenuhi permintaan rasmi oleh India itu.

“Tetapi disebabkan kedua-dua menteri mempunyai jadual yang padat, masa pertemuan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak tidak dapat dicapai pada ketika kenyataan ini dikeluarkan,” kata MITI.

Kementerian itu berkata, berikutan tiadanya mesyuarat rasmi, menjadi satu perkara biasa bagi pihak yang berminat untuk bertemu secara tidak rasmi dan bertukar pandangan di luar acara forum ekonomi tersebut.

Menteri MITI Darell Leiking melahirkan keterbukaannya untuk mengadakan perbincangan seumpama itu dengan rakan sejawatannya Piyush Goyal, terutamanya berkaitan dengan penyertaan India dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang diterajui Asean.

Pada 2018, India merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia. Jumlah perdagangan dengan India meningkat sebanyak 2.2% kepada RM62.76 bilion daripada RM61.38 bilion pada 2017.

India juga merupakan rakan dagang, destinasi eksport dan sumber import terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

Dari segi pelaburan, India merupakan satu daripada sumber utama pelaburan asing Malaysia.

Setakat Disember 2018, 258 pelaburan diluluskan dalam sektor pembuatan bernilai RM9.30 bilion dan dijangka mewujudkan 27,042 peluang pekerjaan.