PH boleh bertahan lebih 1 penggal jika bersatu, kata Christina

Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew (tengah) meraikan media sempena sambutan Tahun Baru Cina hari ini.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew bersetuju dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa Pakatan Harapan boleh menjadi kerajaan sepenggal jika ia tidak berubah.

Liew, yang merupakan pengerusi PH Sabah berkata, ini boleh dielakkan jika semua parti dalam gabungan itu dan juga sekutunya bersatu.

“Kenyataannya (Mahathir) betul. Perpaduan sangat penting, terutamanya jika anda kerajaan gabungan.

“Tetapi saya percaya ia bukanlah sesuatu yang tidak boleh diatasi. Jika pemimpin setiap parti ikhlas bekerja dan bergerak bersama-sama, saya fikir kita baik,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tuan rumah majlis makan tengah hari bersama media bersempena Tahun Baru Cina di sini, hari ini.

Terdahulu hari ini, Mahathir menyebut bahawa PH dan sekutunya kalah dalam 5 pilihan raya kecil yang diadakan sejak pilihan raya umum ke-14, tetapi ia masih tidak memahami keadaan.

“Saya sudah beritahu mereka dalam demokrasi anda perlukan sokongan kuat daripada rakyat, sebaliknya mereka bergaduh sesama sendiri dan memecah-belahkan rakyat…mereka tidak akan menang kecuali ubah cara mereka,” katanya.

Pada 18 Jan lepas, calon Umno yang mewakili Barisan Nasional Mohamad Alamin mengalahkan calon Warisan yang merupakan sekutu PH di Sabah, Karim Bujang dengan majoriti selesa 2,029 undi dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

Kekalahan itu merupakan kekalahan PH yang kelima berturut-turut, sekali gus menampakkan sokongan rakyat yang merosot.

Dalam pada itu, Liew menolak anggapan bahawa kekalahan Warisan di Kimanis adalah natijah kegagalan PH menunaikan janji pilihan raya umum ke-14.

“Saya tidak setuju (dengan anggapan itu). Saya fikir perpaduan paling penting. Jika PH, Upko dan Warisan boleh melangkah ke depan dan bekerjasama, dan kita bersatu, tidak ada pihak yang boleh berkata bahawa kita tidak sesuai antara satu sama lain.

“Kerajaan yang stabil bermakna kita boleh memberi tumpuan kepada kerja. Jadi kita tidak perlu menghabiskan masa berpolitik ke sana ke mari. Kita hanya fokus bekerja kerana itu yang rakyat mahu. Mahukan kerja kita,” kata ahli Parlimen Tawau itu.

Berhubung kenyataan Pengerusi Umno Sabah Bung Mokhtar Radin bahawa BN akan mengambil alih negeri itu pada pilihan raya umum ke-15, Liew berkata, ahli Parlimen Kinabatangan itu adalah “seorang yang lucu”.

“Saya suka jenakanya…setiap kali beliau berjenaka, saya ketawa,” katanya.

Berikutan kemenangan BN di Kimanis, Bung mengingatkan kerajaan Sabah yang terdiri daripada Warisan, PH dan Upko bahawa BN bersedia untuk mengambil alih kerajaan pada pilihan raya akan datang.