PLUS bincang dengan kerajaan muktamadkan mekanisme kurangkan kadar tol

Pengerusi PLUS Mohamad Nasir Ab Latif berkata, perbincangan dengan Putrajaya bertujuan mengesahkan status perjanjian konsesi yang sedia ada serta mengambil kira kepentingan pemegang sukuk syarikat itu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) sedang berbincang dengan kerajaan untuk memuktamadkan skop dan mekanisme pengurangan kadar tol seperti diputuskan Kabinet minggu lepas, memandangkan tarikh pelaksanaannya pada 1 Feb.

“Ini adalah bagi mengesahkan status perjanjian konsesi yang sedia ada serta mengambil kira kepentingan pemegang sukuk kami,” kata Pengerusi PLUS Mohamad Nasir Ab Latif dalam satu kenyataan hari ini.

Pemegang konsesi lebuh raya terbesar negara itu berkata, ia menerima keputusan kerajaan untuk mengekalkan syarikat tersebut di bawah pemegang saham sedia ada, iaitu Khazanah Nasional Bhd/UEM Group Bhd (51% pegangan) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (49%).

“PLUS terus komited untuk memberikan perkhidmatan lebuh raya terbaik serta perjalanan yang selamat dan selesa dengan memanfaatkan inovasi untuk rakyat,” kata syarikat itu.

Pada 15 Jan, Kabinet memutuskan PLUS kekal dengan pemiliknya ketika ini dan tempoh konsesi akan dilanjutkan bagi tempoh 20 tahun lagi dari 2038 hingga 2058 dengan kadar tol dikurangkan sebanyak 18 peratus berkuat kuasa 1 Feb, 2020.

Kadar tol itu akan terus dikekalkan sehingga tamat tempoh konsesi.