Saya jumpa semua orang, termasuk musuh, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad dan Abdul Hadi Awang telah berjumpa beberapa kali sebelum ini. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad memandang ringan laporan tentang kemungkinan berlakunya kerjasama dengan PAS dengan berkata, adalah tugasnya berjumpa “semua orang”.

“Ya memang ada gambar saya menyambut Haji Hadi. Saya sambut semua orang, termasuk pemberita yang tidak mesra,” katanya, merujuk kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Itu tugas saya. Saya jumpa semua orang, walaupun mereka musuh saya.”

Awal hari ini, FMT melaporkan kemungkinan berlakunya susunan baru politik yang boleh mendorong parti Islam itu ke mercu kuasa kerajaan persekutuan berikutan kemerosotan sokongan kepada gabungan pemerintah.

Susunan baru itu, yang dikatakan akan menghimpunkan pihak yang menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di negeri majoriti Melayu akan memberi kesan besar ke atas DAP dan Anwar Ibrahim.

FMT juga melaporkan bahawa pertemuan Hadi dengan Mahathir itu diatur.

Mahathir berkata, beliau boleh bekerjasama dengan bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini dan sekarang, dengan veteran DAP Lim Kit Siang.

“Saya tidak berdendam dengannya. Jika kita boleh melakukan sesuatu yang baik, saya akan bekerja dengannya.”

Mahathir juga menolak tanggapan bahawa kerjasama dengan PAS adalah tanda bahawa Pakatan Harapan lemah.

Beliau berkata, PAS berjumpa beliau berkait kebimbangan tentang beberapa perkara.

Saya cakap penyelesaiannya mudah. Jika kami lakukan sesuatu yang salah, jangan sokong kami di Parlimen. Jika kami buat perkara baik, walaupun anda pembangkang, tetapi kerana apa yang dilakukan itu baik, sokonglah kami. Itu sahaja.”

Mahathir seterusnya berkata, ada ketikanya PAS menyokong undang-undang tertentu di Parlimen.