Sekadar ‘parti Sabah’ tak cukup untuk Warisan menang, kata penganalisis

Ketua Menteri Shafie Apdal menaiki motosikal semasa berkempen pada PRK Kimanis.

PETALING JAYA: Sentimen “Sabah untuk rakyat Sabah” mungkin membantu Warisan menjadi kerajaan negeri, tetapi tidak memadai untuk mengekalkan mereka, kata 2 pemerhati politik.

Tony Paridi Bagang dan Francis Paul Siah berkata prestasi kerajaan negeri isu penting untuk rakyat Sabah disebalik kekalahan Warisan pada pilihan raya kecil Kimanis pada Sabtu.

“Sebagai parti tempatan, Warisan bukan saja harus lantang, tetapi mesti menjalankan pentadbiran yang cekap dan berkesan. Mereka mesti cakap biarlah serupa bikin,” kata Bagang, dari Universiti Teknologi Mara kampus Sabah.

Beliau berkata kemenangan Warisan dan sekutunya Pakatan Harapan pada 2018 mengundang harapan yang besar.

Antaranya penyelesaian segera kepada masalah pendatang haram, dan memenuhi janji-janji mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dan royalti minyak.

Namun harapan itu belum dipenuhi, walaupun sedang diusahakan, kata Bagang.

Kekalahan di Kimanis harus jadi amaran keras kepada kerajaan negeri pimpinan Warisan, tambahnya.

Calon BN, Mohamad Alamin dari Umno Sabah terpilih sebagai ahli Parlimen Kimanis, selepas meraih majoriti selesa 2,029 undi selepas dicabar Karim Bujang dari Warisan.

Siah, yang mengetuai Movement for Change, Sarawak (MoCS), berkata pengundi Sabah matang dari segi politik, dan mereka dengan mudah boleh menyingkir mana-mana kerajaan yang tidak menjaga kepentingan mereka, seperti yang berlaku pada kerajaan Usno, Berjaya, dan Barisan Nasional.

“Jangan main-main dengan pengundi Sabah, kebanyakan mereka sangat sensitif dengan isu ekonomi dan prestasi. Malangnya bagi Warisan, mereka dilihat sebagai sebahagian daripada PH dan dalam kes ini, PH dilihat kurang berprestasi.”

Sekiranya PPBM bertanding di Kimanis, Siah percaya gabungan pemerintah akan mengalami kekalahan lebih besar daripada Warisan, dan sekiranya parti pembangkang tempatan yang bertanding, mereka akan menang dengan margin lebih besar daripada Umno.

Sentimen negeri menjadi faktor tetapi bukan faktor utama.

“Sebagai konteks, walaupun Umno lemah di Sabah dengan penghijrahan ke PPBM, mereka masih dapat meraih undi termasuk daripada komuniti Kadazandusun dan Cina.

“Bagi saya, ini penolakan terhadap Warisan, terutama tentang Pas Sementara Sabah, dan tidak semestinya menunjukkan sokongan kepada BN.”

PSS, dijadualkan dilaksanakan pada Jun, bertujuan menggantikan 3 kertas pengenalan berbeza yang dipegang pendatang asing di Sabah, tetapi ini dibantah oleh ramai pihak yang berkata ia menyalahi Akta Imigresen.

Siah berkata BN jangan terlalu yakin kerana kemenangan di Kimanis mungkin “sekali beri”.

BN harus biarkan Sabah diurus rakan-rakannya di negeri itu, jika BN mahu menawan kembali Sabah.

“Kalau BN boleh himpunkan parti-parti pembangkang Sabah, dengan pemimpin Umno Sabah menyertai parti tempatan, dan tanpa PAS yang rakyat Sabah tak boleh terima, mereka boleh bentuk pakatan baru seperti Gabungan Parti Sarawak.”