Seperti PH, kami juga berdepan mafia politik, kata Imran Khan

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata Mahathir Mohamad ‘berhadapan dengan mafia politik yang berakar umbi’.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata kerajaannya juga berdepan masalah sama seperti yang sedang dihadapi pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Imran di Twitter semalam berkata Mahathir – yang digelarnya “negarawan paling berpengalaman dan berjaya di dunia Islam” – berhadapan dengan mafia politik yang berakar umbi.

“Ia menyebabkan Malaysia tandus dan menanggung hutang yang besar, menyebabkn institusi kerajaan binasa,” katanya.

Beliau juga berkongsi artikel “Startling Similarities – Pakistan and Malaysia”, yang memetik catatan blog Mahathir mengenai Pakatan Harapan.

Mahathir pada 10 Jan menulis tentang gabungannya mengambil alih kuasa daripada kerajaan kleptokrasi yang sudah “bertahun-tahun memperkosa negara, memusnahkan kewangannya, melemahkan agensi-agensi pentadbirannya, dan mencabuli undang-undangnya”.

Beliau juga mengeluh pentadbiran lepas “meletakkan negara ke ke arah kemuflisan”, dan merayu rakyat memberi masa kepada kerajaannya.

Mahathir bertemu Imran beberapa kali tahun lepas, termasuk di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Bagaimanapun, Imran baru-baru ini terpaksa membatalkan lawatan keduanya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, didakwa selepas ditekan kerajaan Saudi.

Mahathir menepis laporan itu, mengatakan Imran ada sebab-sebab tersendiri.