Wanita antara 3 ditahan edar dadah hampir RM1 juta

Polis berkata, hasil siasatan mendapati suspek menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar ibu negara sejak sebulan lepas.

KUALA LUMPUR: Polis menahan 2 lelaki dan seorang wanita dan merampas dadah seberat 18.9 kg yang dianggarkan bernilai RM948,000 dalam serbuan di Setiawangsa dan Cheras, di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Rajab Ahad Ismail berkata, suspek pertama seorang lelaki, 35 tahun ditahan di Setiawangsa kira-kira pukul 5 pagi dan merampas 18 bungkusan plastik mengandungi dadah, serta sebuah kereta.

Katanya susulan itu, sejam kemudian polis menahan pemilik kereta itu, iaitu seorang wanita dan seorang lagi lelaki di sebuah kawasan lapang sekitar Cheras.

“Polis percaya kesemua suspek adalah ahli sindiket dadah, tetapi perkara itu masih dalam siasatan dan kami percaya bekalan dadah itu diperolehi dari negara jiran.

“Hasil siasatan mereka dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar ibu negara sejak sebulan lepas dan didapati kedua-dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk kes jenayah dadah, selain ketiga-tiga mereka positif dadah jenis syabu.

“Dua suspek lelaki itu direman 6 hari bermula 14 Jan lepas dan akan disambung reman, manakala suspek wanita hanya direman 3 hari dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B kerana mengedar dadah serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1957, kerana salah guna dadah.