Ahmad Maslan dituduh gagal isytihar RM2 juta, beri maklumat palsu

Shahrir Samad dan Ahmad Maslan, ditemani Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi (tengah) di mahkamah hari ini.

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan menteri Ahmad Maslan hari ini mengaku tidak bersalah terhadap 2 tuduhan mengikut undang-undang pengubahan wang di Mahkamah Sesyen hari ini, berkaitan dana yang dikatakan diterima daripada Najib Razak.

Ahmad dituduh gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri itu dalam penyata cukai 2013, serta memberikan makumat palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau dituduh mengikut Seksyen 3 dan 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Beliau berdepan hukuman penjara antara 5 hingga 15 tahun, denda RM5 juta atau 5 kali ganda daripada hasil haram itu.

Hakim Azman Ahmad menetapkan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin. Beliau juga mengarahkan Ahmad menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sementara menunggu kes pengubahan wang selesai.

Mahkamah menetapkan 21 Feb untuk sebutan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol mecadangkan mahkamah mengenakan ikat jamin RM1 juta.

Peguam Hamidi Mohd Nor bagaimanapun berkata jumlah itu melampau dan Ahmad masih seorang wakil rakyat yang sedang berkhidmat.

“Tiada ada risiko beliau akan melarikan diri dan beliau seorang warga negara yang mematuhi undang-undang yang tampil ke mahkamah untuk berdepan pertuduhan hari ini,” katanya.

Turut dihadapkan ke kandang hari ini adalah bekas pengerusi Felda, Shahrir Abd Samad, yang dituduh berasingan mengikut akta sama.

Mereka antara 80 individu dan pertubuhan yang dinamakan SPRM sebagai menerima lebih RM420 juta daripada Najib.

SPRM berkata dana itu daripada 1MDB.

Badan anti-rasuah itu mengeluarkan kompaun kepada mereka, menuntut mereka memulangkan wang itu.

Ahmad sebelum ini memohon semakan kehakiman pada 7 Okt 2019 bagi mencabar kompaun SPRM terhadap mereka, mendakwa kompaun itu terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan memulakan semakan kehakiman terhadap SPRM itu.