Korea Selatan bantu lebih 500 rakyat Korea Utara ‘berpaling tadah’

Kira-kira 32,000 rakyat Korea Utara yang berpaling tadah menetap di Korea Selatan. (Twitter pic)

SEOUL: Korea Selatan akan menghulurkan bantuan tambahan kepada lebih 500 rakyat Korea Utara yang berpaling tadah dan berdepan kehidupan yang sukar, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian penyatuan pada Selasa.

Kementerian itu berkata ia menjalankan 2 pusingan tinjauan mengenai keadaan hidup rakyat Korea Utara yang berpaling tadah tahun lepas dan mendapati sejumlah 553 orang memerlukan bantuan tambahan bagi meringankan beban hidup mereka.

Kesulitan hidup sesetengah rakyat Korea Utara yang berpaling tadah terbongkar selepas seorang wanita berusia 42 tahun dan anak lelakinya berusia 6 tahun ditemui mati dalam pangsapuri mereka akibat kebuluran.

Kementerian itu bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai bentuk bantuan yang akan diberikan kepada golongan tersebut.

Rakyat Korea Utara yang berpaling tadah menerima bantuan biasanya selama 5 tahun selepas ketibaan mereka di Korea Selatan yang membabitkan kediaman, pekerjaan dan pendidikan.

Kebanyakan bantuan itu bagaimanapun tidak lagi disediakan selepas 5 tahun atau jika mereka mendapat kerja, sistem yang dianggap pengkritik boleh menyebabkan individu yang ketiadaan rangkaian sosial dan kerja yang stabil mudah terdedah kepada kehidupan sukar.

Ketika ini, kira-kira 32,000 rakyat Korea Utara yang berpaling tadah menetap di Korea Selatan.

Kementerian itu berkata ia akan terus menjalankan tinjauan mengenai keadaan hidup rakyat Korea Utara yang berpaling tadah sebanyak 2 kali setahun untuk menyediakan bantuan bagi membolehkan mereka hidup selesa dan mengelak tragedi tahun lepas berulang.