Menteri sahkan 1 sekolah di Sabah tutup kerana H1N1

SK Stella Maris diarah tutup selama seminggu.

KOTA KINABALU: Menteri Kesihatan Dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Frankie Poon mengesahkan sebuah sekolah rendah ditutup selepas 6 muridnya didapati positif Influenza A (H1N1).

Poon berkata murid-murid itu, berusia bawah 12 tahun, daripada SK Stella Maris di Tanjung Aru, dihantar pulang untuk berehat.

“Tetapi ini bukan isu yang serius. Seperti yang saya katakan sebelum ini ada banyak langkah yang boleh diambil (bagi menghentikan penyebaran virus)…dan ini antara langkah-langkahnya.

“Ini hanyalah flu biasa. Kecuali ada orang tertentu menghidap kes penyakit yang serius atau isu-isu perubatan yang lain, maka itu akan merumitkan keadaan,” katanya kepada pemberita selepas acara menyerahkan kepala tarian singa kepada pemimpin-pemimpin persatuan Cina hari ini.

Gambar notis dari Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu memaklumkan SK Stella Maris akan ditutup selama seminggu bermula 8 pagi esok sehingga 28 Jan tersebar di media sosial.

Poon berkata kerajaan negeri tiada isu dengan keputusan menutup sekolah itu, mengatakan ia bertujuan untuk mengekang penyebaran virus.

Mengenai vaksin influenza pula, beliau memberi jaminan bekalan baru akan tiba tidak lama lagi.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Dr Christina Rundi berkata beliau difahamkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mahu sekolah ditutup.

“Sebenarnya tidak perlu tutup sekolah – kita hanya tutup kalau ia sumber jangkitan,” katanya.

“Dalam kes ini, keputusan dibuat oleh jabatan kesihatan daerah. Pad amasa depan, kita akan lihat kriteria yang mewajarkan penutupan sekolah.”

Beliau menambah jabatannya sedang memantau keadaan secara harian.